Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Kes Individu Tiada Kena Mengena Dengan Parti

Kes Individu Tiada Kena Mengena Dengan Parti

KUALA LUMPUR, Kempen Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai tidak terjejas ekoran keputusan mahkamah mengarahkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, membela diri atas tujuh tuduhan membabitkan syarikat SRC International Sdn Bhd (SRC).

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata kes dihadapi individu tiada kena mengenai dengan parti.

“Kami cukup rasional bahawa semangat dan tahap sokongan pengundi tidak akan terpengaruh dengan kes di mahkamah kerana mereka mengetahui bahawa perbicaraan itu dibuat mengikut proses undang-undang.

“PRK Tanjung Piai, kempen kami tinggal beberapa hari lagi untuk menentukan bahawa tahap sokongan itu terus meningkat,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi BN, berkata parti tidak akan menghalang jika Najib mahu terus turun untuk membantu kempen di PRK berkenaan.

“Dia (Najib) datang (kempen), yang terakhir semalam dan sambutan kepada beliau masih tetap luar biasa dan sesiapa saja ingin membantu (calon BN), kita akan bagi ruang secukupnya.

“Bukan hanya memperjelaskan isu yang ada tetapi untuk melihat bahawa sokongan harus diberikan kepada mana-mana calon BN,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub, pula berkata tidak ada sebab untuk parti menjarakkan diri daripada Najib.

“Dia pun menghadapi kes di mahkamah secara peribadi. Najib pernah kata, tidak akan babitkan UMNO dalam kes dia. Dia akan teruskan dengan kes di mahkamah, malah pemimpin lain pun terbabit dengan kes di mahkamah.

“Itu isu membabitkan diri mereka sendiri, bukan parti dan sebagainya tetapi sebagai bekas presiden parti, kita akan terus beri sokongan moral kepada Najib untuk menghadapi kes ini,” katanya.

Najib pagi tadi diarah membela diri atas tujuh tuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana RM42 juta milik syarikat SRC.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohd Nazlan Mohd Ghazali, membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan wujud kes ‘prima facie’ bagi kes berkenaan.

Najib, 66, berdepan masing-masing tiga dakwaan pecah amanah jenayah (CBT), tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kuasa.

Leave a Reply

Top