Anda di sini!
Utama > Luar Negara > Kes Covid-19 Di Saudi Cecah Angka 100,000

Kes Covid-19 Di Saudi Cecah Angka 100,000

Jumlah kes jangkitan COVID-19 di Arab Saudi melepasi angka 100,000 kes dengan peningkatan jangkitan baharu beberapa minggu menjelang permulaan musim haji.

Menurut Kementerian Kesihatan negara itu, jumlah kes meningkat kepada 101,914, paling tinggi di negara Teluk dengan kes kematian meningkat kepada 712 kes.

Ketika ini, pihak berkuasa belum mengumumkan sama ada kota Makkah akan dibuka kepada ibadat haji yang dijadualkan akhir Julai ini.

Sabtu lalu, Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi mengambil keputusan melaksanakan semula perintah berkurung di Jeddah yang menjadi pintu masuk ke Makkah hingga 20 Jun depan.

Gulf News memetik laporan Agensi Berita Saudi (SPA), tindakan itu diambil susulan adanya peningkatan bilangan kes jangkitan COVID-19 di Jeddah dan ia sebahagian langkah kerajaan Arab Saudi untuk mengekang penularan wabak.

Berikutan pelaksanaan semula perintah berkurung itu, penduduk dilarang melakukan pergerakan bermula jam 3 petang hingga 6 pagi termasuk ke tempat kerja tidak kira di sektor awam mahupun swasta.

Selain itu, penduduk juga dilarang makan dan minum di dalam restoran atau kafe serta menunaikan solat berjemaah melebihi lima orang di dalam masjid.

Bagaimanapun, kementerian memaklumkan pengangkutan darat dan udara untuk masuk dan keluar dari Jeddah masih dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh berkenaan. – Agensi

Leave a Reply

Top