Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Kerugian RM9,000 Ditipu Ejen Pekerjaan

Kerugian RM9,000 Ditipu Ejen Pekerjaan

SIBU, Impian seorang wanita bekerja di sebuah restoran di Australia yang menawarkan gaji lumayan tidak kesampaian selepas diperdayakan sindiket penipuan pekerjaan di Facebook.

Lebih menyedihkan apabila mangsa berusia 25 tahun itu turut menanggung kerugian wang simpanan RM9,000 yang sudah dibayar kepada ejen pekerjaan palsu itu kononnya sebagai caj perkhidmatan.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit, berkata mangsa mula mengenali suspek selepas tertarik dengan iklan tawaran pekerjaan bergaji lumayan di luar negara di akaun akaun Facebook yang didaftarkan atas nama `Ming Zai’ pada 15 Mei lalu.

“Pemilik akaun berkenaan memberitahu mangsa bahawa dia adalah ejen mencari pekerja untuk bekerja di luar negara.

“Selepas itu, mangsa diminta untuk berurusan dengan seorang lelaki dikenali sebagai Sam menerusi aplikasi WeChat,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Stanley berkata, mangsa yang tertarik dengan tawaran itu bertindak membuat empat transaksi yang keseluruhannya berjumlah RM9,000 ke sebuah akaun bank seperti diarahkan suspek.

“Mangsa tidak mengesyaki apa-apa kerana dimaklumkan ia adalah yuran ejen dan caj perkhidmatan. Bagaimanapun, mangsa mula sedar dirinya ditipu apabila suspek sekali lagi memintanya membayar RM2,500 bagi tujuan penghantaran dokumen ke Australia.

“Mangsa yang berasa tertipu segera membuat laporan polis dan siasatan awal mendapati suspek menggunakan modus operandi dengan memperdayakan mangsa mengenai tawaran peluang pekerjaan yang tidak wujud,” katanya.

Katanya, kes sedang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan.

Leave a Reply

Top