MH Online

Laman Suara Rakyat

Kerugian Lebih RM30,000 Ditipu Sindiket Pinjaman Tidak Wujud

Kerugian Lebih RM30,000 Ditipu Sindiket Pinjaman Tidak Wujud

KUANTAN, Seorang jurujual wanita di Indera Mahkota di sini, kerugian RM31,230 selepas diperdaya sindiket pinjaman tidak wujud.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata kejadian berlaku selepas mangsa berusia 23 tahun tertarik dengan iklan pinjaman wang di laman sosial Facebook pada 16 September lalu.

“Mangsa mengisi butiran peribadinya pada ruangan disediakan dengan jumlah yang mahu dipinjamkan iaitu RM5,000 untuk kegunaan modal perniagaan telefon bimbit.

“Pada hari sama, mangsa menerima mesej WhatsApp daripada seorang lelaki kononnya wakil syarikat pinjaman dari Balik Pulau, Pulau Pinang menyatakan bahawa pinjamannya diluluskan,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Mohd Wazir berkata, mangsa kemudian membuat bayaran berjumlah RM31,230 kononnya untuk wang proses pinjaman iaitu caj cukai, surat perjanjian, surat peguam dan caj perkhidmatan bagi mendapatkan wang pinjaman berkenaan.

Katanya, bayaran berkenaan dibuat secara berperingkat sebanyak 16 kali ke tiga akaun berbeza diberikan suspek.

“Namun selepas itu mangsa tidak mahu meneruskan urusan permohonan pinjaman berkenaan selepas mengesyaki ada berlaku penipuan.

“Mangsa meminta suspek supaya wang diberikan itu dikembalikan, namun lelaki itu enggan memulangkannya. Dia kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini, semalam,” katanya.

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.