MH Online

Laman Suara Rakyat

Kerugian Bersih Air Asia X Meningkat Kepada RM305.24 Juta

Kerugian Bersih Air Asia X Meningkat Kepada RM305.24 Juta

Airasia X Bhd (AAX) mencatat kerugian bersih lebih tinggi kepada RM305.24 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun, 2020 daripada RM207.11 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

Ia susulan penurunan drastik pendapatan kepada RM91.44 juta daripada RM1.01 bilion sebelum ini.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata ia masih kekal dalam fasa hibernasi sepanjang tempoh suku kedua tahun ini sehingga sekarang dengan operasi minimum dalam bentuk sokongan penghantaran balik serta pengangkutan kargo.

“Kapasiti tempat duduk dan jumlah penumpang yang dibawa dalam suku berkenaan masing-masing mencecah 6,032 dan 2,291 manakala faktor beban muatan penumpang adalah 38 peratus.

“Bagi suku berkenaan, pihak sekutu kami di Thailand mencatatkan hasil sebanyak AS$4.7 juta manakala bilangan penumpang sebanyak 309 orang dan kapasiti tempat duduk berjumlah 377.

“AirAsia X Thailand merekodkan kerugian bersih AS$54.2 juta bagi suku tersebut,” katanya.

Bagi kemajuan masa depan, AAX berkata kumpulan itu dijangka kekal dalam mod hibernasi dalam tempoh terdekat memandangkan prospek menyambung semula penerbangan itu berkait rapat dengan kelonggaran sekatan perjalanan serta penarikan menarik balik sekatan sempadan dan jangkaan peningkatan permintaan bagi perjalanan antarabangsa.

Bagi tahun ini, syarikat tersebut mempunyai lindung nilai bahan api pada purata harga Brent sebanyak AS$61.45 manakala 70 peratus daripada kontrak terbabit yang telah disusun semula.

“Kumpulan ini menjangkakan mencatat beberapa kerugian lindung nilai apabila harga bahan api diunjur terus lemah dalam masa terdekat ini,” katanya.