MH Online

Laman Suara Rakyat

Kertas Siasatan ADUN Ketari Diserah Kepada Pengarah Pendakwaan Selangor

Kertas Siasatan ADUN Ketari Diserah Kepada Pengarah Pendakwaan Selangor

SEPANG, Kertas siasatan berhubung kes Ahli Dewan Undangan (ADUN), Ketari, Young Syefura Othman yang dikatakan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) diserahkan kepada Pengarah Pendakwaan Selangor, hari ini.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof, berkata ADUN dari Pahang itu sudah dipanggil dan keterangannya direkodkan Selasa lalu.

Menurut beliau, polis akan menjalankan siasatan seterusnya sekiranya menerima arahan lanjut daripada Pengarah Pendakwaan.

Katanya, berdasarkan kepada gambar yang tular itu, terdapat lima individu atau ada individu ke-enam yang menjadi saksi dan mengambil gambar berkenaan.

“Kita serahkan kepada Pengarah Pendakwaan dan sekiranya diarah meneruskan siasatan lanjut kita akan siasat,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Bencana Daerah Sepang, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Bandar Baru Salak Tinggi, hari ini.

Terdahulu gambar perkelahan Young Syefura dan lima rakannya di Sepang viral di media sosial sehingga mengundang kecaman kerana tidak mengamalkan SOP.

Wan Kamarul berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).