MH Online

Laman Suara Rakyat

Kerjasama MN Tidak Menghalang PAS Menyertai PN

Kerjasama MN Tidak Menghalang PAS Menyertai PN

TANJUNG MALIM, Kerjasama PAS bersama UMNO dalam Muafakat Nasional (MN) tidak mengikat parti itu, apatah lagi menghalangnya untuk menyertai Perikatan Nasional (PN).

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata pihaknya menghormati keputusan dibuat PAS untuk menyertai PN dan menyifatkan ia bukan sesuatu perkara yang boleh dipertikaikan kerana MN sendiri bukan sebuah badan berdaftar.

“Itu (PAS menyertai PN) tiada apa-apa isu, sebab dalam MN, kita tak ada yang mengikat. Jadi PAS boleh buat (menyertai) dalam PN kerana MN pun bukan satu badan yang didaftarkan.

“PAS mahu bekerjasama dengan mana-mana parti itu tiada isu, kita tidak mengikat. UMNO sudah membuat pendirian kita tidak akan menyertai PN, itu pendirian parti kita dan PAS menghormatinya. PAS pula kata nak menyertai PN, kita juga menghormati pendirian mereka.

“Kita punya piagam adalah kerjasama, PAS dan UMNO ini bekerjasama. Hasrat kita untuk melihat orang Melayu tidak berpecah sangat, jika berpecah kepada banyak puak ia akan merugikan orang Melayu sendiri,” katanya ketika ditemui di Bangunan UMNO Bahagian Tanjung Malim, di sini, hari ini.

Mohamad berkata demikian mengulas tindakan PAS yang terbabit sama dalam jawatankuasa pendaftaran PN.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, dilapor mengesahkan bahawa pihaknya bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dalam proses menubuhkan PN.

Sementara itu, Mohamad berkata, sebagai sebuah kerajaan baik PN mahupun MN, matlamat mereka adalah mahu mengelak berlakunya pertembungan sesama parti dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.

“Yang penting apabila PRU-15, kita cuba elak tiada pertandingan tiga penjuru, kalau bertanding tiga penjuru kita kalah, yang menang PH, jadi pembahagian kerusi nanti mesti dirunding sebaik mungkin,” katanya.