MH Online

Laman Suara Rakyat

Kerajaan Timbang Tubuh Semula Jawatankuasa Memperkasa Mahkamah Syariah

Kerajaan Timbang Tubuh Semula Jawatankuasa Memperkasa Mahkamah Syariah

KUALA LUMPUR, Kerajaan sedang mempertimbangkan untuk menubuh semula Jawatankuasa Memperkasa Mahkamah Syariah (JKMMS) yang dihentikan apabila kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pentadbiran negara selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, ini kerana jawatankuasa yang ditubuhkan pada 2017 itu bertujuan memartabatkan sistem perundangan syariah secara holistik selaras dengan kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Walau bagaimanapun, jawatankuasa ini telah pun terhenti akibat pertukaran kerajaan selepas PRU14. Kerajaan sedang meneliti kewajaran untuk menubuhkan semula jawatankuasa ini.

“Selain itu, penyeragaman pentadbiran juga dilakukan melalui pembinaan Arahan Amalan Mahkamah Syariah, Kaedah-Kaedah Mahkamah Syariah dan prosedur operasi standard (SOP) yang akan diguna pakai di seluruh Mahkamah Syariah.

“Usaha-usaha tersebut dibuat melalui perbincangan dalam persidangan Ketua-Ketua Hakim Syarie seluruh Malaysia dan mesyuarat Ketua-Ketua Pendaftar Mahkamah Syariah,” katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan Tan Sri Noh Omar (BN-Tanjong Karang) sama ada pihak kerajaan berhasrat untuk menubuhkan suatu jawatankuasa bagi menstruktur semula pentadbiran dan prosedur yang diguna pakai Mahkamah Syariah bagi menaik taraf sistem kehakiman itu.

Mengulas mengenai penstrukturan semula pentadbiran dan prosedur yang diguna pakai Mahkamah Syariah seluruh negara, Dr Zulkifli memberitahu, ia mendapat pandangan dan persetujuan daripada Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia atau Duli Yang Maha Mulia Sultan atau Raja setiap negeri.

Bagi negeri-negeri yang tidak beraja pula, ia adalah di bawah kuasa Yang di-Pertuan Agong.

“Sebarang usaha untuk menstruktur semula pentadbiran dan prosedur yang diguna pakai Mahkamah Syariah seluruh negara bagi menaik taraf perkhidmatan serta integriti institusi tersebut perlulah mendapat pandangan dan persetujuan daripada baginda-baginda selaku ketua agama bagi negeri-negeri tersebut, serta pihak berkuasa agama kerajaan negeri yang berautoriti,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Dr Zulkifli berkata, kerajaan Persekutuan dengan kerjasama kerajaan negeri sedang berusaha ke arah pemerkasaan institusi Mahkamah Syariah melalui cadangan untuk memperluaskan bidang kuasa Mahkamah Syariah, menaik taraf sistem kehakiman syariah serta menyemak semula kedudukan Hakim-Hakim Mahkamah Syariah.