Selaras dengan peranan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) sebagai peneraju utama peringkat komuniti dalam agenda transformasi negara, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memperkasakan kepemimpinan institusi itu.

Antaranya, KKLW dengan kerjasama Institut Kemajuan Desa (INFRA) dan UniKL mengadakan program Sijil Tadbir Urus Desa bagi memperkasakan lebih 16,000 JKKK dengan ilmu pengurusan desa yang lebih profesional.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kerajaan tidak meminggirkan kepemimpinan desa iaitu JKKK sebagai peneraju utama peringkat komuniti untuk turut serta dalam transformasi negara.

Menerusi latihan itu, kepemimpinan JKKK dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKP) mendapat ilmu pengurusan secara terus daripada UniKL yang mempunyai standard keilmuan berasaskan nilai tambah intelek dan pemikiran yang komprehensif.

“Pengisian latihan ini diperkukuhkan lagi dengan amalan tadbir urus secara praktikal menerusi perancangan strategik desa yang dibimbing INFRA, manakala kepekaan kepada sistem pilihan raya dibimbing oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menutup Program Sijil Tadbir Urus Desa Infra-UniKL Zon Timur dan pelancaran Tatacara Pengurusan JKKK/JKKKP di sini, semalam.

Seramai 700 kepemimpinan JKKK dan JKKKP dari Terengganu, Pahang dan Kelantan serta Jawatankuasa Kemajuan Kampung Orang Asli (JKKKOA) menamatkan program Sijil Tadbir Urus Desa. Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman; Ketua Setiausaha KKLW, Datuk Borhan Dolah.

Siri pertama program itu diadakan pada 13 hingga 15 Mac yang lalu di INFRA, Bangi, membabitkan peserta dari Zon Tengah dan Selatan.

Program itu akan diteruskan dengan Zon Utara, Sabah serta Sarawak sebelum Ramadan dengan sasaran 3,500 wakil JKKK/JKKKP untuk kelima-lima zon berkenaan.

Ismail Sabri berkata, pelbagai usaha memantap dan memperkasakan JKKK, JKKKP dan JKKKOA menjadi bukti kerajaan menghargai dan prihatin dengan peranan institusi itu yang menjadi perantara paling dekat antara kerajaan dan rakyat.

Katanya, pengurusan JKKK/JKKKP di seluruh negara juga akan menjadi lebih cekap dan tersusun apabila KKLW memperkenalkan sistem e-tadbir urus desa tidak lama lagi.

“Kita sedang membangunkan sistem itu bagi membolehkan urus tadbir JKKK termasuk laporan minit mesyuarat dan aduan, dibuat secara dalam talian dan ia dijangka siap Ogos depan, sekali gus dapat meningkatkan profesionalisme, kecekapan dan sistem tadbir urus JKKK,” katanya.

Ismail Sabri berkata, kerajaan juga bercadang mewujudkan insurans untuk seluruh JKKK/JKKKP sebagai penghargaan kerja keras mereka dalam penyampaian khidmat kerajaan, selain mewujudkan kad identiti.

Selain itu, katanya, kerajaan juga melaksanakan inisiatif pembayaran elaun JKKK yang sistematik dan cepat menerusi sistem pemindahan wang elektronik (EFT) seperti bayaran gaji kepada penjawat awam.

“Kita juga menubuhkan Majlis Muafakat di antara Menteri KKLW dan JKKK/JKKKP serta mengemaskini tatacara pengurusan JKKK/JKKP terutama daripada aspek dasar dan peranan mereka,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *