MH Online

Laman Suara Rakyat

Kerajaan Teliti Cadangan Rakyat Rangka Belanjawan 2021

Kerajaan Teliti Cadangan Rakyat Rangka Belanjawan 2021

KOTA KINABALU, Kerajaan akan meneliti setiap cadangan dikemukakan rakyat dan pihak berkepentingan bagi merangka Belanjawan 2021 yang bakal dibentangkan Oktober ini, disusuli pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) tahun depan.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Abdul Rahim Bakri, berkata darurat kesihatan disebabkan pandemik COVID-19 dan kesan ekonominya disifatkan paling buruk dalam sejarah.

“Pada suku pertama 2020, negara masih mencatat kadar pertumbuhan sebanyak 0.7 peratus tetapi suku kedua dan selanjutnya akan memberi gambaran kesan sebenar kemerosotan ekonomi global ini pada negara.

“Walaupun kelihatan ada tanda pemulihan berlaku di Malaysia disebabkan pelbagai inisiatif fiskal dan ‘monetary intervention’ khusus menerusi pakej rangsangan RM295 bilion, tetapi kebimbangan sebenar akan berlaku apabila inisiatif itu bakal berakhir September ini apabila moratorium kemudahan pembiayaan RM100 bilion dan kemudahan i-Letasri tamat kelak.

“Kerajaan akan berusaha sehabis baik untuk negara dengan merangka instrumen terbaik disamping memerhati kejayaan dan kegagalan negara lain sebagai panduan yang akan disesuaikan di sini,” katanya.

Abdul Rahim berkata, terdapat sektor tertentu di negara yang sudah pulih ketika ada yang masih terjejas.

“Sektor peruncitan kelihatan semakin rancak khususnya sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tetapi sektor perkhidmatan pelancongan masih teruk terjejas khususnya perhotelan berskala besar.

“Sektor perhotelan berskala besar akan memerlukan sedikit masa untuk dipulihkan khusus bila adanya kedatangan pelancong antarabangsa dan pada masa kini sektor ini bergantung kepada pelancong domestik.

“Selain itu, keutamaan kerajaan sekarang adalah untuk mengurangkan pengangguran dan pekerja tempatan akan mendapat peluang pekerjaan semula dengan inisiatif pemberian subsidi upah, ‘retraining’, ‘reskilling’, dan menggalakkan e-dagang serta ekonomi gig,” katanya.

Bagaimanapun katanya dengan posisi kenaikan harga minyak dan gas serta komoditi pertanian, ia bakal membuka peluang pemulihan ekonomi jika berterusan, selain mengekalkan kestabilan politik.