MH Online

Laman Suara Rakyat

Kerajaan Teliti Cadangan Jadikan CAAM Badan Berkanun

Kerajaan Teliti Cadangan Jadikan CAAM Badan Berkanun

KUALA LUMPUR, Kerajaan sedang meneliti cadangan menjadikan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) sebagai badan berkanun sepenuhnya.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata cadangan itu diteliti secara menyeluruh bersama Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, selain mengambil kira dapatan dibuat pasukan petugas khas.

Beliau berkata, antara faktor utama diteliti bagi cadangan itu ialah struktur dan kemampanan kewangan CAAM untuk memastikannya berdaya saing.

“Kita dalam cadangan ke arah itu, antara perkara perlu dilakukan ialah bagaimana CAAM ini boleh menjadi lebih mampan.

“Satu daripadanya ialah kita bandingkan caj pengendalian penerbangan udara (ANFC) dikenakan dengan negara jiran, iaitu lima kali ganda lebih tinggi berbanding Malaysia.

“Oleh kerana pandemik COVID-19, kita mungkin tak boleh anjak dari sini tetapi ia perlu dilihat dan bagaimana kita dapat melihat ke arah kemampanan kewangan CAAM,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Anthony Loke (PH-Seremban) yang ingin mengetahui bila CAAM akan dijadikan badan berkanun sepenuhnya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Ka Siong menjelaskan, keputusan mengenai cadangan menggabungkan CAAM dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) belum dimuktamadkan.

Bagaimanapun, katanya, proses rundingan dan perbincangan mengenai perkara itu sudah berlaku, selain menjelaskan kementerian bergerak ke arah itu.

“Sekarang kita beri keutamaan kepada CAAM dan selepas itu akan lihat aspek ini (penggabungan) sebab walaupun dalam keadaan peralihan ini, kita perlu memastikan fungsi MAVCOM berjalan kerana (penggabungan) mengambil sedikit masa.

“Kalau dulu jangkaannya pada hujung tahun ini, tetapi kerana COVID-19 dan sebagainya, perlu kita anjakkan sedikit.

“Ia (penggabungan) tertakluk kepada keputusan Kabinet. Kita akan kaji sama ada perkara ini akhirnya akan diterima Kabinet,” katanya.