MH Online

Laman Suara Rakyat

Kerajaan Selangor Rakus Kuasa

PUTRAJAYA, Tindakan kerajaan negeri Selangor menghentikan peruntukan kewangan untuk wakil-wakil rakyat PAS membuktikan kerajaan pakatan di negeri itu telah menjadi kerajaan cacamarba dan rakus kuasa, kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor Tan Sri Noh Omar.

“Kalau tak silap yang dulu menyokong pelantikan (Datuk Seri Mohamed) Azmin (Ali) sebagai Menteri Besar juga adalah PAS. Pertelingkahan ini menunjukkan bahawa kerajaan Selangor hari ini adalah kerajaan yang cacamarba, rakan dia pun dah mula komen,” katanya kepada selepas majlis menandatangani perjanjian pembangunan MyTransit dan majlis perhimpunan kementeriannya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas isu yang dibangkitkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkenaan rungutan wakil-wakil rakyat PAS negeri itu yang mendakwa peruntukan tahunan yang sepatutnya diterima mereka pada tahun ini akan dibekukan oleh kerajaan Selangor.

Noh yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata tindakan pembekuan itu juga menunjukkan kerajaan Selangor pimpinan PKR hanya mementingkan kuasa serta kerakusan politik semata-mata sehingga sanggup menganaktirikan rakan mereka dalam kerajaan negeri.

“Untuk mencapai kemuncak kuasa itu, kita lihat kawan pun mereka boleh jadikan lawan dan lawan menjadi kawan. Kalau kerajaan ini diberi sokongan, yang akan menjadi mangsa adalah rakyat.

“Kalau musuh sudah menjadi kawan, mana prinsip perjuangannya? Bagaimana nasib rakyat? Mereka tidak akan memikirkan rakyat. Apa yang penting adalah jawatan dan kerakusan politik dan bila mereka berkuasa, mereka tidak akan mengendahkan janji mereka dalam membela rakyat,” katanya.