ALOR SETAR, Kerajaan negeri Selangor dilihat memberikan kenyataan agak bercanggah berhubung projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) apabila menyatakan bahawa mereka tidak pernah menerima sebarang permohonan untuk projek itu.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar berkata, ini kerana perkara itu telah pun dibangkitkan pada mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) sebelum ini yang mana Selangor telah menghantar exco perumahan sebagai wakilnya sedangkan mesyuarat tersebut sepatutnya dihadiri oleh menteri-menteri besar.

“Saya masih ingat sewaktu mesyuarat MPFN, perkara ini kita sudah bangkitkan dan pada masa itu diberitahu bahawa kerajaan negeri Selangor akan memberikan kerjasama untuk melaksanakan (ECRL) dan mereka juga telah diberikan taklimat dalam mesyuarat itu, dalam mesyuarat telah dimaklumkan,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke Flat Seri Gemilang di sini hari ini.

Baru-baru ini, Ketua Pembinaan Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) Noor Azlan Salleh dilaporkan berkata, sehingga kini kerajaan Selangor masih belum meluluskan tanah kepada syarikat itu untuk melaksanakan projek ECRL di negeri berkenaan meskipun permohonan telah dibuat pihaknya sebelum ini.

Bagaimanapun semalam, akhbar melaporkan kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana dan Pengangkutan Selangor, Datuk Teng Chang Khim yang menafikan kerajaan negeri telah menerima permohonan untuk projek itu, sebaliknya hanya menerima taklimat berkaitan.

Sehubungan itu, Noh yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor berharap agar kerajaan negeri Selangor tidak menghalang sebarang projek pembangunan yang dibuat kerajaan Persekutuan kerana ia sudah pasti bertujuan memberi manfaat kepada rakyat di negara ini khususnya di Pantai Timur.

“Inilah kesan apabila negeri dipimpin oleh pakatan cacamarba…kesan kepada rakyat…macam Kedah senang sebab sama-sama BN, lulus projek hari ini tak ada masalah…di Selangor susah sebab parti berlainan, kadang-kadang yang datang mesyuarat orang lain, tapi yang bagi kenyataan orang lain pula,” katanya.

Projek ECRL yang akan melibatkan laluan sejauh 688 kilometer di negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan akan dilaksanakan secara dua fasa iaitu fasa pertama melibatkan laluan Gombak, Selangor ke Tumpat, Kelantan dan fasa kedua dari Gombak ke Pelabuhan Klang, Selangor yang dijangka siap sepenuhnya secara serentak hujung tahun 2024.

Selain Kelantan, negeri-negeri lain yang terlibat dalam jajaran projek itu iaitu Terengganu dan Pahang telah pun memberi kelulusan tanah masing-masing kepada MRL sekali gus membolehkan kerja-kerja pembinaan ECRL dimulakan sejak November tahun lepas.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *