MH Online

Laman Suara Rakyat

Kerajaan Sedia Bantu PKS Rancakkan Semula Perniagaan

Kerajaan Sedia Bantu PKS Rancakkan Semula Perniagaan

KOTA KINABALU, Kerajaan bersedia membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta usahawan mikro untuk mencergaskan semula industri mereka, agar negara kekal berada di landasan yang betul ke arah mencapai sasaran pemulihan ekonomi pada 2021.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata justeru pihaknya bersama agensi lain akan memastikan industri PKS seperti makanan dan minuman, penternakan dan automotif mampu menyumbang kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Beliau berkata agensi berkenaan termasuk Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia, SIRIM Bhd serta Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia.

“Kita memerlukan sektor (PKS) ini agar memulakan segera aktiviti mereka, kerana kita mahu ekonomi negara dapat dipulihkan pada 2021.

“Ketika ini kita berada di landasan yang betul dalam memastikan sasaran pemulihan ekonomi dapat dicapai,” katanya kepada pemberita selepas bertemu usahawan Bumiputera sempena lawatan kerja tiga hari di Sabah di sini, hari ini.

Beliau berkata Bank Negara Malaysia mengunjurkan pertumbuhan ekonomi adalah lembap tahun ini.

Bagaimanapun sekiranya Malaysia dapat segera memulihkan ekonomi pada 2021 maka ia bertepatan dengan unjuran oleh badan-badan antarabangsa bahawa Malaysia menjadi antara negara terawal mengalami pertumbuhan ekonomi iaitu pada kadar 6.3 hingga 7.5 peratus, katanya.

Beliau berkata pembukaan ekonomi sejak Mei lalu juga telah mengurangkan jumlah pengangguran akibat kehilangan pekerjaan daripada kira-kira 860,000 kepada 773,000 orang pada Jun dan angka itu dilihat sebagai satu perkembangan yang positif.

“Oleh itu, saya berharap PKS termasuk PKS mikro agar segera memulakan (aktiviti) ekonomi dan kementerian akan terus membantu melalui beberapa inisiatif yang ada untuk bergerak maju ke depan bagi meningkatkan produktiviti PKS,” katanya.

Mengulas mengenai pertemuan itu, Mohamed Azmin berkata ia diadakan bagi mendengar cabaran yang dihadapi usahawan PKS dalam usaha merancakkan semula aktiviti mereka selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).