Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Kerajaan Sedia Bantu Pelancongan Perak

Kerajaan Sedia Bantu Pelancongan Perak

LUMUT, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan bersedia menyalurkan bantuan kepada Perak untuk terus menambah baik bandar raya Ipoh yang tersenarai sebagai bandar yang harus dilawati oleh akhbar The New York Times.

Timbalan Menterinya Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata ini kali kedua bandar raya itu mendapat pengiktiran antarabangsa, menyusuli syor portal pengembaraan dunia Lonely Planet pada tahun lalu.

“Pengiktirafan ini merupakan bonus buat negara, terutamanya Perak dari segi menarik kedatangan pelancong, justeru jika ada keperluan kerajaan negeri boleh mengemukakan permohonan kepada kementerian.

“Hal ini supaya kita tahu bentuk bantuan yang diperlukan sama ada dari segi program atau pembangunan yang merancakkan aktiviti pelancongan sedia ada,” katanya.

Beliau ditemui selepas Majlis Penutup ‘Fantasy Lights of Marina’ dan Sambutan Chap Goh Meh, di Marina Island, di sini.

“Tahniah dan syabas kepada Perak, pihak berkuasa tempatan dan semua yang terlibat dalam usaha ini,” katanya.

Selepas diiktiraf portal pengembaraan dunia, Lonely Planet sebagai antara 10 wilayah terkemuka dunia untuk dilawati tahun lalu, kali ini Ipoh disenaraikan dalam akhbar berpengaruh dunia, The New York Times yang berpangkalan di New York, Amerika Syarikat dalam ruangan Travel (Kembara).

Artikel bertajuk ‘Why Ipoh, Malaysia, Should be on your Travel Radar’ (Mengapa Ipoh, Malaysia, Harus Ada Dalam Radar Pengembaraan Anda) itu diterbitkan pada Rabu lepas.

Leave a Reply

Top