Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > ‘Kerajaan Sedang Lakukan Yang Terbaik’

‘Kerajaan Sedang Lakukan Yang Terbaik’

KUALA LUMPUR, Rakyat dinasihatkan tidak risau dengan situasi ekonomi negara kerana kerajaan sedang berusaha keras untuk meletakkan ekonomi negara berada di landasan yang tepat ketika berdepan cabaran ekonomi global.

Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dr Mohd Radzi Md Jidin, berkata kerajaan juga komited untuk fokus dan membina ekonomi agar dapat dikongsi bersama rakyat.

Katanya, komitmen kerajaan ini diperakui Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang kerajaan sedang melakukan yang terbaik, bekerja keras memperbetulkan pelbagai kerosakan berlaku sebelum ini.

“Kita sedang melihat hasilnya, maka saya percaya rakyat boleh merasakan manfaat terhadap segala yang sedang diusahakan Kerajaan PH hari ini.

“Hal ini dapat dilihat berdasarkan pelaburan langsung asing (FDI) apabila pelabur melihat sendiri kami sedang berusaha membetulkan segala perkara termasuk sistem, urus tadbir dan struktur,” katanya.

Beliau berkata kepada media selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri RISDA 2019 di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi RISDA, Rosely Kusip.

Pada majlis itu, RISDA turut meraikan seramai 60 penghuni Pusat Jagaan Kasih Nurul Hasanah dan Pertubuhan Kebajikan Asnaf Al-Barakh Malaysia.

Kira-kira 1,500 jemputan hadir ke majlis berkenaan yang terdiri daripada pegawai RISDA dan agensi di bawah Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

Mohd Radzi berkata, kerajaan juga sedang mengambil tindakan yang sebaiknya untuk mengharungi cabaran ekonomi global ketika ini.

“Sebagai contoh Majlis Tindakan Ekonomi menggariskan cadangan dan pelan mengembangkan ekonomi.

“Tun Dr Mahathir turut bercakap mengenai produktiviti dan cabaran ekonomi semasa penting meningkatkan produktiviti,” katanya.

Leave a Reply

Top