MH Online

Laman Suara Rakyat

Kerajaan PH Tidak Diskriminasi Mana-Mana Pihak

Kerajaan PH Tidak Diskriminasi Mana-Mana Pihak

KOTA BHARU, Pakatan Harapan (PH) Kelantan menyifatkan jaminan Kerajaan Pusat mahu menyalurkan peruntukan pembangunan secara adil di semua negeri termasuk Kelantan dan Terengganu, membuktikan kerajaan baharu bersikap adil.

Pengerusinya, Senator Datuk Husam Musa, berkata kerajaan PH membawa konsep baharu dari semua segi termasuk pengagihan kewangan.

“Ini kerana falsafah PH tidak boleh ada diskriminasi dari segi parti, bangsa dan kaum. Tidak boleh ada peminggiran atau satu-satu tempat dipinggirkan atas masalah tertentu, sebaliknya perlu merapatkan jurang.

“Kita mahu semua negeri yang terkebelakang ini boleh bersama-sama dengan negara. Mengambil contoh di Kelantan, kemudahan infrastruktur seperti lebuh raya, mini pelabuhan, lapangan terbang yang mempunyai penerbangan terus ke beberapa destinasi perlu ada.

“Selain itu, infrastruktur seperti pembangunan sumber alam sedia ada juga perlu. Sekiranya ada asas infrastruktur berkenaan, maka Kelantan dan negeri yang lain barulah bersama-sama mengorak langkah mencapai negeri maju dalam pembangunan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mini Karnival Stem dan Pusat Stem Sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail, di sini, hari ini.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini berkata, kerajaan akan memastikan peruntukan pembangunan lebih saksama di enam wilayah dalam memastikan tiada negeri di Malaysia terpinggir.

Katanya, enam wilayah berkenaan terdiri daripada Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis dalam usaha untuk mencapai pembangunan lebih setara.

Beliau berkata, dalam usaha memperkukuh pembangunan ekonomi wilayah, perancangan pembangunan pada peringkat nasional, wilayah dan negeri perlu diperkemas.

Pada masa sama, Husam mencadangkan tadika di bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dijenamakan semula supaya mampu menjadi pusat kecemerlangan Sains, Matematik dan bahasa Inggeris.

Katanya, surat cadangan berkenaan sudah diserahkan kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun menerusi pertemuan tiga bulan lalu, dan kini cadangan itu masih di peringkat kajian.

“Tujuan kita menjenamakan tadika berkenaan kerana mahu menjadikan rakyat kita lebih maju dan cepat menguasai bidang Sains, Matematik dan bahasa Inggeris,” katanya.