MH Online

Laman Suara Rakyat

Kerajaan Pertimbang Calon Vaksin Lain

Kerajaan Pertimbang Calon Vaksin Lain

KUALA LUMPUR, Kerajaan sedang mempertimbangkan calon vaksin lain yang berada di fasa ketiga ujian klinikal, bagi memastikan tahap pelalian 70 peratus berupaya dicapai.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, berkata usaha itu kini dirintis secara bersama, merentasi kementerian menerusi Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin COVID-19 (JKJAV).

“Selain vaksin Pfizer, Malaysia juga menyertai pelan peruntukan vaksin COVID-19 global, COVAX, yang akan menyediakan bekalan 10 peratus populasi penduduk di negara ini.

“JKJAV sedang mempertimbangkan calon vaksin lain yang berada fasa ketiga ujian klinikal, malah pengumuman dan senarai keutamaan siapa terima vaksin dulu akan diumumkan pada waktu terdekat,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri (MQT), di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) mengenai kos, keberkesanan dan liputan penduduk untuk vaksin Pfizer, khususnya tempoh imuniti.

Turut dibangkitkan ialah berhubung jaminan perubatan terhadap kesan sampingan negatif supaya rakyat menaruh keyakinan terhadap usaha kerajaan menerusi pemberian vaksin bagi mencapai imuniti kelompok.

Khairy berkata, kerajaan membuat pemilihan vaksin daripada Pfizer berdasarkan laporan interim ujian klinikal dan diterbitkan di The New England Journal of Medicine pada 10 December lalu.

“Ia menunjukkan vaksin berkenaan didapati mempunyai tahap keberkesanan 95 peratus dalam mencegah jangkitan COVID-19 dan kerajaan turut mendapat akses data untuk menilai kualiti, keselamatan dan tahap keberkesanannya.

“Vaksin ini juga mendapat kebenaran penggunaan kecemasan daripada tujuh negara merangkumi United Kingdom, Amerika Syarikat, Bahrain, Kanada, Arab Saudi, Mexico dan Singapura.

“Bagaimanapun, keputusan pembelian akhir dan penggunaan vaksin itu di Malaysia tertakluk kepada pendaftaran dan kelulusan daripada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan (KKM).

“Proses ini sudah bermula dan semua data yang dibekalkan Pfizer akan diteliti oleh NPRA,” katanya.

Bagi menambah keyakinan terhadap vaksin dalam kalangan rakyat, Guan Eng yang juga bekas Menteri Kewangan mencadangkan Ahli Parlimen dijadikan antara penerima pertama.

Khairy berkata, kerajaan akan meneliti cadangan dan mengumumkan keputusan muktamad selepas diperhalusi secara bersama menerusi saluran berkaitan.

“Cadangan diutarakan Bagan (Guan Eng) baik, akan dipertimbang dan umumkan nanti,” katanya.