MH Online

Laman Suara Rakyat

Kerajaan Perhalusi Semua Cadangan Belanjawan 2021

Kerajaan Perhalusi Semua Cadangan Belanjawan 2021

PUTRAJAYA, Kerajaan akan memperhalusi semua cadangan dan maklum balas yang diterima sepanjang siri Jelajah Belanjawan 2021 di beberapa negeri sejak dua bulan lalu.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata dalam siri jelajah yang turut membabitkan pelbagai sektor dalam industri, kerajaan mengambil maklum permintaan untuk menambah, memanjangkan atau menambahbaik beberapa langkah untuk manfaat rakyat serta perniagaan.

“Kerajaan akan mempertimbang cadangan dan maklum balas yang diterima. Walau apapun, kerajaan tetap prihatin dan bersedia membantu golongan yang benar-benar memerlukan sokongan,” katanya dalam Laporan LAKSANA Ke-22 pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) di sini, hari ini.

Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan 6 November ini tertumpu kepada usaha merancakkan semula ekonomi selain memulihkan keyakinan pelabur dan pengguna.

Belanjawan tahunan itu akan memberi tumpuan kepada empat tema utama iaitu menjaga kebajikan rakyat; memacu pertumbuhan ekonomi; melestarikan kehidupan; dan memantapkan penyampaian perkhidmatan awam.

Semua tema itu bertujuan menjayakan wawasan kerajaan untuk menjadi pentadbir yang lebih mantap.

Bulan lalu, Tengku Zafrul melancarkan portal rasmi bagi mengumpulkan cadangan dan maklum balas Belanjawan 2021.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, usaha pemulihan ekonomi yang terjejas akibat penularan COVID-19 akan dipertingkatkan melalui siri libat urus Belanjawan 2021 yang telah dan sedang giat dijalankan oleh pasukan Kementerian Kewangan bagi mendapatkan maklum balas dan input daripada segenap lapisan rakyat.

“Maklum balas berkenaan seterusnya akan digunakan bagi merangka Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan di Parlimen pada awal November ini,” katanya.

Dalam siri jelajah Belanjawan 2021 di Sabah dan Sarawak baru-baru ini pula, katanya, penekanan terarah kepada ‘delivery service’ kerajaan termasuk penambahbaikan pelaksanaan dan saluran bantuan kepada rakyat supaya lebih cepat dan berkesan.

Beliau berkata, kerajaan juga memberi penekanan kepada penambahbaikan infrastruktur fizikal antara kawasan bandar dan pedalaman di kedua-dua negeri.

“Semasa Jelajah Belanjawan 2021 ini saya bersama Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd Shahar Abdullah, telah menghadiri taklimat mengenai Bantuan Sara Hidup (BSH) dan BPN di pedalaman dan projek Sekolah Daif Sabah oleh Jabatan Kerja Raya Sabah di Tanjung Aru, Kota Kinabalu.

“Saya kemudiannya ke Kuching, Sarawak, di mana saya juga telah mengadakan sesi dialog dengan wakil industri, termasuk industri minyak dan gas, komoditi-agro, pelancongan dan perniagaan untuk mendapat maklum balas bagi Belanjawan 2021,” katanya.