MH Online

Laman Suara Rakyat

Kerajaan Pantau Harga Minyak Dan Kadar Inflasi

KUALA LUMPUR, Kerajaan akan memantau rapat pergerakan harga minyak dunia dan kadar inflasi sebelum membuat keputusan untuk mengambil tindakan bagi membantu rakyat, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Beliau berkata sebarang keputusan akan bergantung kepada sejauh mana kerajaan akan meraih manfaat daripada kenaikan harga minyak dunia.

“Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) akan terus membantu mengurangkan beban pendapatan kategori kumpulan isi rumah Bawah 40 peratus dan kumpulan isi rumah pendapatan sederhana (M40) disebabkan oleh kenaikan harga minyak.

“Jika harga bahan api dan kadar inflasi meningkat secara drastik, kerajaan akan ambil tindakan bagi membantu rakyat, terutama dalam dua kategori berkenaan bagi memastikan mereka tidak turun ke paras kemiskinan,” katanya kepada wartawan selepas merasmikan Sidang Kemuncak Pemasaran Global 2017 di sini hari ini.

Beliau berkata setiap kenaikan US$1 setong harga minyak, kerajaan akan memperoleh pendapatan tambahan kira-kira RM300 juta.

“Setakat ini kita belum ada penanda aras harga minyak untuk bertindak,” katanya.

Mengenai mekanisme harga pam mingguan, Johari berkata kerajaan tidak merancang untuk mengubahnya pada masa ini, dan tidak akan menetapkan harga siling untuk bahan bakar itu.

“Harga siling merupakan perkara dasar, saya tidak boleh membuat keputusan dan mengumumkannya secara terbuka. Ia perlu dibincangkan bersama Perdana Menteri dan Kabinet memandangkan ia merupakan isu yang sangat sensitif, yang melibatkan semua perniagaan di Malaysia.

“Jika (kami) tersalah cakap, rakyat akan mentafsirkannya secara berbeza dan ini boleh mewujudkan keadaan yang tidak menentu,” katanya.

Sidang kemuncak sulung itu dianjurkan oleh Unit Pemandu Agenda Bumiputera dan Institut Keusahawanan Negara (ISKEN) yang bertujuan untuk berkongsi pandangan mengenai proses mengubah syarikat-syarikat perniagaan Malaysia dan Bumiputera menjadi usahawan global yang berjaya.