Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Kerajaan Pandang Serius insiden Ketirisan Data

Kerajaan Pandang Serius insiden Ketirisan Data

KUALA LUMPUR, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata beliau memandang serius laporan berhubung insiden ketirisan data peribadi penderma organ di negara ini.

Beliau berkata Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) sedang  menjalankan siasatan mengenainya bersama pihak polis.

“Maklumat lanjut mengenai insiden ini akan dimaklumkan JPDP selepas siasatan selesai dijalankan. Mana-mana pihak yang disabitkan kesalahan boleh diambil tindakan undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama,  Salleh menggesa pihak yang memproses data peribadi atau mengendalikan sistem pangkalan data agar memastikan tahap keselamatan pengurusan data masing-masing diurus dengan cekap, berhemah dan berintegriti bagi mengelakkan ketirisan dan penyalahgunaan.

Kebocoran data peribadi seperti kod penderma, nama penuh, MyKad dan nombor telefon itu dilapor melibatkan lebih 220,000 penderma organ di Malaysia.

Mengulas perkara sama selepas merasmikan Kongres Usahawan Generasi Muda Berjaya (GMB) 2018 di sini, Salleh berkata langkah memperkukuh keselamatan data perlu dibuat supaya data berkenaan berada dalam keadaan terkawal dan tidak dikongsi dengan pihak lain tanpa kebenaran.

Beliau berkata kementeriannya menyediakan beberapa peraturan yang perlu diikuti pemegang dan pengguna data bagi memastikan ia tidak bocor kepada pihak tidak bertanggungjawab.

“Setiap pengendali data perlu meningkatkan tahap keselamatan data mereka. Kini pelbagai teknologi  berkaitan keselamatan data boleh diperoleh bagi  memastikan ia betul-betul terjaga,” katanya kepada pemberita.

Berucap merasmikan majlis itu, Salleh  berkata kongres berkenaan merupakan platform terbaik bagi  mendapatkan pelbagai maklumat dan teknologi terkini serta peluang melebarkan sayap perniagaan.

“Ini merupakan satu usaha praktikal untuk membantu melahirkan lebih ramai usahawan muda dan seterusnya memantapkan  dan mengukuhkan lagi perniagaan mereka,” katanya.

Kongres dua hari yang bermula semalam itu dihadiri lebih 3,000 usahawan dengan tujuan menaikkan prestasi golongan usahawan supaya mampu terus bertahan dan bersaing.

Leave a Reply

Top