MH Online

Laman Suara Rakyat

Kerajaan Kaji Undang-Undang Khas Menghina Mahkamah

Kerajaan Kaji Undang-Undang Khas Menghina Mahkamah

KUALA LUMPUR, Jabatan Peguam Negara sedang menjalankan kajian untuk menggubal undang-undang khas bagi menangani kes menghina mahkamah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan, menjelaskan usaha berkenaan sebelum ini dirintis pada 2010 yang membawa kepada draf berhubung perundangan khas itu berupaya disiapkan tiga tahun kemudian.

Katanya, draf undang-undang khas itu seterusnya dirujuk ke pihak mahkamah dan menerima maklum balas yang baik untuk diteruskan.

“Pada 2016, draf undang-undang ini sudah di peringkat pengesahan bahagian penggubalan akta di Jabatan Peguam Negara.

“Tetapi setahun kemudian, Kementerian Dalam Negeri (KDN) buat pindaan terhadap Akta Hasutan 1948 yang membabitkan peruntukan menghina mahkamah iaitu pada Seksyen 3(1)(c).

“Oleh itu, rangka perundangan khas ini terpaksa dikaji semula supaya ia selaras pindaan undang-undang berkaitan di peringkat kerajaan,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri (MQT), di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Liew Vui Keong (WARISAN-Batu Sapi) mengenai sama ada kerajaan bercadang memperkenalkan undang-undang khas seperti Akta Pentadbiran Keadilan (Perlindungan) 2016 di Singapura bagi menangani kes menghina mahkamah yang kian meningkat.