MH Online

Laman Suara Rakyat

Kerajaan Kaji Tetapkan Gaji Minimum Guru Prasekolah

BAGAN DATUK, Kerajaan berhasrat menyelaraskan latihan kepada guru Taman Didikan Kanak-kanak (Tadika) dan pendidikan prasekolah bagi menentukan gaji minimum tenaga pengajar itu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata beliau sudah meminta beberapa agensi untuk melakukan kajian terperinci terhadap penyelarasan itu.

Agensi yang terbabit adalah Kementerian Pendidikan bersama Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional serta beberapa insitusi pengajian tinggi (IPT).

Ahmad Zahid berkata, beliau yang mempengerusikan mesyuarat Majlis Sosial Negara minggu lalu turut mengambil kepedulian untuk membincangkan mengenai penyelarasan gaji guru berkenaan supaya nasib dan kebajikan mereka diperjuangkan sebaiknya.
“Ada guru (tadika dan prasekolah) gaji terlalu kecil dan ada yang agak tinggi kerana mereka datang daripada tadika swasta.

“Apabila latihan dan silibus ini diselaraskan, saya harap guru ini diberikan gaji minimum supaya mereka tidak berada di bawah garisan kemiskinan.

“Kita mahu guru tadika dan prasekolah mendapat gaji setimpal agar jiwa mereka tenang dan fokus serta tumpuan mereka untuk mendidik anak-anak mencapai maksud dan dipenuhi dengan sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sukan Prasekolah bagi kawasan Parlimen Bagan Datuk, di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, skim khas dan gaji guru terbabit sebelum ini ditentukan Kementerian Sumber Manusia, namun mahu gaji minimum khas diberikan kepada guru berkenaan bagi memastikan kebajikan mereka.

“Walaupun tidak menyamai skim gaji guru di sekolah, sekurang-kurangnya nasib mereka terbela,” katanya yang tidak mendedahkan jumlah minimum yang dicadangkan.

Terdahulu, pada majlis tinjauan mesra bersama penduduk Cina di Tokong Teoh Fu Keong, di sini, Ahmad Zahid berkata, kerajaan cukup prihatin dan memahami perbezaan agama walaupun Perlembagaan jelas menyatakan Islam adalah agama Persekutuan.

Beliau berkata, penganut agama lain bebas mengamalkan anutan masing-masing, sekali gus menunjukkan kerajaan adil dan menghormati setiap agama.

“Kita hormati perbezaan agama kerana Islam dan Nabi Muhammad SAW mengajar umat Islam untuk menghormati agama lain selagi ia tidak mengganggu agama Islam…dan orang Islam jangan mengganggu agama lain.

“Jadi, ini dapat mewujudkan masyarakat Malaysia yang bersatu dan membolehkan keamanan (wujud) di negara ini yang memberi kesejahteraan kepada seluruh rakyat tanpa mengira fahaman agama,” katanya di hadapan kira-kira 500 orang yang hadir.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, meminta rakyat khususnya di parlimen berkenaan supaya mengambil iktibar terhadap diskriminasi dan pembersihan etnik yang berlaku di Myanmar, antaranya disebabkan sikap tidak mahu menerima perbezaan agama.