MH Online

Laman Suara Rakyat

Kerajaan Kaji Semula Kaedah Lantikan Peguam Bebas Wakili SPR

Kerajaan Kaji Semula Kaedah Lantikan Peguam Bebas Wakili SPR

KUALA LUMPUR, Kerajaan akan mengkaji semula kaedah pelantikan peguam bebas bagi mewakili Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam kes petisyen pilihan raya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan, berkata kerajaan terdahulu memutuskan bahawa Jabatan Peguam Negara tidak lagi boleh mewakili SPR dalam kes petisyen pilihan raya.

Katanya terdapat peruntukan yang boleh digunakan SPR bagi membiayai petisyen pilihan raya.

Beliau berkata SPR sebelum ini menggunakan RM400,000 untuk membiayai kos petisyen pilihan raya ketika pentadbiran sebelum ini membabitkan Jasin, Sipitang, Rantau dan Kimanis

“Berdasarkan peruntukan RM15 juta, terdapat peruntukan sebanyak RM400,000 bagi membiayai petisyen pilihan raya.

“Dengan kata lain, SPR perlu melantik peguam bebas untuk mewakili mereka dalam sesuatu petisyen pilihan raya.

“Kerajaan pada masa itu (dahulu) dan kerajaan sekarang ini berpandangan sebenarnya Jabatan Peguam Negara mempunyai kepakaran yang boleh dikatakan tidak boleh dipertikai malahan melebihi peguam swasta yang sekali-sekala membuat kes petisyen ini.

“Oleh itu, kerajaan akan memikirkan dasar yang baharu terhadap perwakilan kepada SPR jika atau sekiranya berlaku petisyen pilihan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan Peringkat Jawatankuasa di Dewan Rakyat, hari ini.

Menjawab kos sebenar jika pilihan raya umum (PRU) mengejut diadakan, Takiyuddin berkata ia dianggarkan membabitkan perbelanjaan sebanyak RM1.2 bilion dan bukannya RM700 juta seperti yang perkatakan.

Kos itu katanya, merangkumi semua prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi.

Mengulas mengenai SOP pilihan raya pasca COVID-19 seperti dibangkitkan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian), beliau SPR terikat dengan semua garis panduan Kementerian Kesihatan selagi tidak bercanggah dengan undang-undang.

Menjawab isu dibangkitkan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang), Takiyuddin berkata kerajaan akan meneliti saranan diketengahkan ahli berkenaan berkaitan Akta Anti Lompat Parti dengan bersandarkan kepada Fasal (2) (c) Perkara 10 Perlembagaan iaitu ‘bahawa dalam apa-apa sekatan yang didapati perlu dan suai manfaat demi keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagian ketenteraman awam atau prinsip moral.’

“Setakat ini, autoriti yang kerajaan gunakan adalah Perkara 10 (1) dalam Perlembagaan iaitu kebebasan berpesatuan tetapi saya meneliti pandangan Yang Berhormat.

“Saya mungkin agak bersetuju dengan Fasal (2)(c) Perkara 10 yang menyatakan bahawa dalam apa-apa sekatan yang didapati perlu dan suai manfaat demi keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagian ketenteraman awam atau prinsip moral,” katanya.

“Insya-Allah, kita meneliti perkara ini namun setakat ini kerajaan masih lagi terikat dengan keputusan kes DUN Kelantan melawan Nordin Salleh pada 1992 (lompat parti tidak bercanggah Perlembagaan),” katanya.