MH Online

Laman Suara Rakyat

Kerajaan Giat Tambah Baik Kemudahan Capaian Internet

Kerajaan Giat Tambah Baik Kemudahan Capaian Internet

PADANG BESAR, Lebih 87 peratus kawasan di seluruh negara akan menerima kemudahan capaian internet pada hujung tahun ini.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin, berkata ketika ini kerajaan sedang giat menambah baik kemudahan capaian internet di kawasan luar bandar melalui kerjasama dengan syarikat telco tempatan.

Menurutnya, beberapa kekangan seperti capaian internet yang lemah akan dapat diatasi menerusi pelan yang sudah dirangka pihaknya.

“Kita masih berbincang dengan agensi berkaitan supaya penggunaan satelit khas dapat digunakan dalam masa terdekat,” katanya ketika ditemui di Dewan Kemas Alor Tampang, Beseri hari ini.

Terdahulu, Zahidi menyampaikan dekoder MyTV kepada 25 penerima terdiri daripada golongan berpendapatan rendah (B40) di Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi Parlimen Padang Besar.

Mengulas lanjut, Zahidi berkata, pihaknya kini sedang menumpukan usaha dan gerak kerja bagi memastikan rakyat khususnya di luar bandar sudah menerima kemudahan capaian internet.

“Normal baharu menyaksikan rakyat terpaksa berurusan secara dalam maya baik di dalam urusan kerja profesional dan peribadi.

“Jadi kita mahu rakyat bersedia menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya berlaku perkara sedemikian di masa akan datang,” katanya.