Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Kerajaan Digesa Segerakan Proses Ratifikasi Konvensyen Pelarian 1951

Kerajaan Digesa Segerakan Proses Ratifikasi Konvensyen Pelarian 1951

KUALA LUMPUR, Kerajaan digesa menyegerakan proses meratifikasikan Konvensyen Pelarian 1951 di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dalam usaha menangani krisis pelarian khususnya, Rohingya.

Saranan itu dikemukakan Jawatankuasa Khas Malaysia Mengenai Kemanusiaan dan Pusat Rohingya ASEAN.

Inisiatif itu diharap dilaksanakan seperti dijanjikan Pakatan Harapan dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14.

Bekas Menteri Luar, Tan Sri Syed Hamid Albar yang juga penasihat jawatankuasa itu, berkata sehubungan itu pihaknya akan mengemukakan memorandum kepada kerajaan melalui Kementerian Luar supaya menyegerakan proses pengesahan.

“Jawatankuasa khas ini juga bertanggungjawab dalam merangka rangka kerjanya supaya proses meratifikasikan dapat dimobilisasikan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai Jawatankuasa Khas Malaysia yang baru dibentuk itu, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, penasihat bersama jawatankuasa itu, Datuk Zaid Ibrahim dan Pengarah Eksekutif Pusat Rohingya ASEAN (ARC), Dr Mohd Helmi Ibrahim.

Syed Hamid yang juga bekas Duta Khas Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) ke Myanmar, menegaskan jika Malaysia membuat ratifikasi, undang-undang dan mekanisma akan diwujudkan untuk membantu pelarian Rohingya dalam bidang kesihatan, pendidikan, latihan vokasional dan pekerjaan.

Malaysia tidak menandatangani Konvensyen Pelarian 1951 atau Protokol 1967 sekali gus tidak mempunyai rangka kerja perundangan atau pentadbiran yang mengawal status dan hak pelarian di Malaysia.

Mengikut Akta Imigresen, pelarian dianggap pendatang tanpa izin dan berisiko ditangkap dan dihantar pulang ke negara asal.

“Jawatankuasa khas ini juga mencadangkan Malaysia membuat satu resolusi kepada PBB untuk merujuk Myanmar kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa untuk disiasat dan dipertanggungjawabkan atas jenayah hak asasi dan kemanusiaan yang dilakukan.

“Kami juga berharap ASEAN sebagai pertubuhan serantau yang mempunyai piagam hak asasi manusia juga mengambil tanggungjawab menangani pelanggaran hak asasi paling besar yang berlaku di Asia Tenggara, sejak peristiwa hitam pembunuhan di Kemboja,” katanya.

Syed Hamid berkata dalam masa terdekat juga satu Makmal Kemanusiaan 2.0 akan dianjurkan oleh Mercy Malaysia dengan kerjasama ARC.

“Makmal ini akan menampilkan beberapa inisiatif konkrit dalam menangani isu Rohingya di Malaysia khasnya isu status dan dokumentasi, akses kepada pendidikan dan kesihatan, latihan vokasional dan pekerjaan,” katanya.

Leave a Reply

Top