Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Kerajaan BN Pastikan Rakyat Terima Kemudahan Selesa

Kerajaan BN Pastikan Rakyat Terima Kemudahan Selesa

IPOH, Usaha menaik taraf perkhidmatan kesihatan di Perak adalah sebahagian perancangan Kerajaan Persekutuan di bawah Barisan Nasional (BN), bagi memastikan rakyat mendapat kemudahan selesa.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata peruntukan istimewa daripada Kerajaan Pusat itu, termasuk pembinaan hospital di Parit Buntar, tambahan peruntukan sebanyak RM60 juta di Hospital Seri Manjung dan pembinaan beberapa hospital lain, termasuk di Seri Iskandar di daerah Perak Tengah.

“Ini sebenarnya memberi kemudahan kepada rakyat,” katanya selepas merasmikan Majlis Pecah Tanak Klinik Kesihatan Manjoi di sini, semalam.

Turut hadir, penyandang dan calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Manjoi, Mohamad Ziad Mohamed Zainal Abidin dan calon BN DUN Hulu Kinta, Datuk Aminuddin Md Hanafiah.

Zambry berkata, sebagai pemimpin kerajaan negeri, beliau sendiri memperjuangkan aspek menambah kemudahan kesihatan daripada Kerajaan Persekutuan.

Katanya, dalam konteks pembinaan hospital di Parit Buntar, Kerajaan Persekutuan bukan menolak permintaan kerajaan negeri, sebaliknya memerlukan masa yang lama untuk penambakan tanah sawah.

“Isu pembinaan hospital daerah baharu di Parit Buntar, kita perjuang bertahun-tahun, sejak saya jadi Menteri Besar, itu yang saya minta.

“Apabila selalu minta, Kerajaan Persekutuan segerakan, bukan mahu kata kerajaan tidak mahu buat, tetapi dari segi keutamaan, kerajaan buat namun dengan keadaan (kawasan) Parit Buntar (tanah sawah), sering dijadikan isu berikutan pembinaannya yang mengambil masa lama,” katanya.

Mengenai pembinaan Klinik Kesihatan Manjoi pula, Zambry berkata, bangunan baharu klinik itu dijangka siap pada 2 Mac 2020 dan proses meratakan tanah baharu empat peratus dijalankan.

Beliau berkata, bangunan itu bakal memberi manfaat kepada 40,000 penduduk di Gugusan Manjoi, sekali gus mengurangkan kesesakan untuk mendapat rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), yang jaraknya terletak kira-kira lima kilometer daripada lokasi pembinaan.

Katanya, keperluan klinik kesihatan itu sudah beberapa kali dikemukakan Mohamad Ziad kerana prihatin dengan nasib penduduk setempat.

“Kawasan ini tidak begitu jauh dengan HRPB, tetapi disebabkan penduduk Gugusan Manjoi lebih daripada 40,000 penduduk, tentu memerlukan sebuah klinik kesihatan yang dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk kemudahan X-ray, rawatan pergigian dan rawatan pemulihan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan negeri, Dr Ding Lay Ming, berkata jumlah pengunjung semakin meningkat di Klinik Kesihatan Manjoi di Jalan Masjid pada tahun lalu.

“Bangunan klinik kesihatan yang baharu itu mampu memberi kemudahan yang lebih selesa kerana pelbagai fasiliti canggih disediakan kepada pesakit,” katanya.

Dalam pada itu, Zambry berkata, rakyat boleh membuat penilaian terhadap khidmat Mohamad Ziad dan Aminuddin di kerusi yang mereka pertahankan.

“Saya yakin waktu saya berjalan dengan orang Manjoi dan Hulu Kinta, saya lihat apabila mereka memberi penilaian kepada wakil rakyat, mereka tidak¬†complaint¬†(mengadu) kononnya wakil rakyat tidak buat kerja, sebaliknya rajin melaksanakan kerja mereka,” katanya.

Justeru, beliau yakin dengan khidmat diberikan kedua-dua mereka dan gabungan dengan calon BN Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, selaku orang lama ketiga-tiga mereka akan memberi kemenangan kemenangan kepada BN dan semua pihak memberi dokongan kepada kepada semua mereka itu.

Leave a Reply

Top