Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Kerajaan Akan Teliti Surat KP Penjara

Kerajaan Akan Teliti Surat KP Penjara

KUALA LUMPUR, Isu menempatkan individu di penjara selepas dijatuhkan hukuman kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dibincangkan secara lebih lanjut.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kerajaan mengambil maklum surat rasmi daripada pengurusan penjara berhubung risiko penempatan individu yang ingkar PKP.

Susulan itu, katanya, mesyuarat menteri bersetuju supaya perkara berkenaan dibincangkan terlebih dahulu bagi memastikan penyelesaian tuntas berupaya dirangka dengan segera.

“Semalam juga ada dikhabarkan mengenai surat daripada pengarah penjara, justeru mesyuarat bersetuju PDRM (Polis Diraja Malaysia) dan Jabatan Penjara Malaysia untuk bincangkan isu ini.

“Ini bagi memastikan ia mendapat penyelesaian segera,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Menteri Mengenai PKP, di Putrajaya, hari ini.

Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia dalam satu kenyataan hari ini, mengesahkan menerima surat daripada Ketua Pengarah Jabatan Penjara Malaysia, bertarikh 2 April lalu berkenaan penerimaan banduan kesalahan PKP.

Sebuah portal berita melaporkan, Jabatan Penjara meminta mahkamah berhenti mengenakan hukuman penjara kepada pesalah yang melanggar PKP.

Langkah itu, katanya, akan menyebabkan kesesakan di penjara, selain menyifatkan pelaksanaan langkah penjarakan sosial ketika dalam tahanan di premis berkenaan adalah mustahil untuk dilakukan.

Jabatan berkenaan turut membangkitkan mengenai status tahanan baharu yang dihantar ke penjara, sama ada mereka dijangkiti COVID-19 atau sebaliknya.

Perkara itu dimaklumkan melalui surat oleh Ketua Pengarah Penjara, Datuk Seri Zulkifli Omar kepada Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Ahmad Terrirudin Mohd Salleh.

Leave a Reply

Top