Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Kerajaan Akan Perkasa Pekebun Kecil

Kerajaan Akan Perkasa Pekebun Kecil

KOTA BHARU, Kerajaan akan terus memperkasakan pekebun kecil bagi membentuk kumpulan ekonomi yang memberi impak besar kepada pembangunan negara.

Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dr Mohd Radzi Md Jidin, berkata terdapat seramai 552,543 pekebun kecil di bawah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) di seluruh negara.

“RISDA akan membuat penelitian mengenai potensi perniagaan sampingan yang hendak dilakukan oleh pekebun kecil sebelum diberikan bantuan termasuk peralatan dan juga ternakan supaya mereka dapat menjana pendapatan tambahan bukan hanya bergantung kepada tanaman getah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri RISDA Kelantan 2019 di sini, malam tadi.

Turut hadir, Pengarah RISDA negeri Mohd Zulkifli Hassan.

Radzi berkata, kerajaan melalui RISDA akan terus berusaha untuk menambah pendapatan pekebun kecil melalui projek Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET).

“Melalui projek ini, RISDA akan membuat penelitian mengenai potensi perniagaan sampingan yang hendak dilakukan oleh pekebun kecil sebelum diberikan bantuan seperti peralatan dan ternakan bagi membolehkan mereka menjana pendapatan tambahan dan tidak hanya bergantung kepada tanaman getah sahaja.

“Kita tidak mahu golongan ini hanya bergantung kepada pendapatan komoditi yang diusahakan oleh mereka kerana apa yang berlaku sebelum ini apabila harga getah jatuh, pekebun kecil tidak mempunyai pendapatan sampingan untuk menampung harga kejatuhan komoditi getah.

“Dengan aktiviti keusahawanan ini, kita berharap pekebun kecil akan mendapat manfaat yang besar dan membentuk satu ‘buffer’ (penyelesaian) apabila berlakunya kejatuhan harga komoditi,” katanya.

Beliau berkata, menjelang 2020, RISDA menyasarkan setiap keluarga pekebun kecil melalui AET ini mampu menjana pendapatan sebanyak RM4,000 sebulan.

“Sehingga kini, daripada jumlah keseluruhan pekebun kecil yang terdapat di seluruh negara, seramai 16,436 daripada mereka adalah usahawan,” katanya.

Leave a Reply

Top