Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Keputusan PRK Tanjung Piai Iktibar Kepada PH

Keputusan PRK Tanjung Piai Iktibar Kepada PH

KUALA LUMPUR, Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai adalah isyarat rakyat kepada Pakatan Harapan (PH) yang perlu dijadikan iktibar ahli dan kepemimpinan parti, bukan medan untuk menyalahkan antara satu sama lain.

Ahli Majlis Presiden PH, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata ini bukan masa untuk mempertikaikan kepemimpinan gabungan berkenaan.

Katanya, serangan terhadap mana-mana pemimpin hanya akan terus melemahkan PH dan keberkesanan dalam mentadbir serta mengurus negara.

“Inilah masa untuk PH bersama-sama menyatukan tenaga dan menghadapi kenyataan secara kolektif. Keputusan ini satu cabaran kepada anggota dan barisan kepemimpinan PH membuktikan kita mampu meneruskan kerjasama serta mengharungi cabaran sebagai satu pasukan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR berkata, ahli dan pemimpin PH perlu membuktikan kepada rakyat bahawa kerajaan komited kepada mandat diberikan rakyat dan secara konsisten akan membela nasib serta memperjuangkan kepentingan rakyat.

“Kekalahan memberikan kita lebih banyak pengajaran daripada kemenangan. Kita perlu bersikap tawaduk dan mengambil iktibar daripada kekalahan serta menggilap azam baharu supaya kekuatan gabungan terus diperkukuhkan.

“Namun, kita perlu insaf bahawa apa yang kita rasa terbaik untuk rakyat kadang-kadang tidak sekata dengan aspirasi mereka. Justeru, kita perlu merasai denyut nadi rakyat dan mendengar keluhan serta rintihan mereka,” katanya.

Beliau memberi jaminan kerajaan PH akan bertindak dan mengambil langkah bertepatan dengan realiti semasa demi mengukuhkan kebajikan sosioekonomi rakyat di bandar dan luar bandar, generasi muda, wanita mahupun golongan minoriti.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PRK Johor, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, PKR negeri menginsafi dan menghormati keputusan dibuat rakyat pada PRK Tanjung Piai.

Katanya, ia membuktikan PH perlu bekerja keras untuk terus meningkatkan khidmat dan menunaikan janji berdasarkan manifesto pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

“Ini iktibar untuk PH tidak mengambil mudah mandat diberikan rakyat. Keputusan PRK ini wajar dianalisis dan diperhalusi dengan lebih mendalam supaya kelemahan mahupun kekuatan dapat dikenal pasti.

“Satu muhasabah perlu dilaksanakan segera, PH tetap utuh sebagai Kerajaan Johor dan Kerajaan Pusat, namun agenda reformasi wajib diteruskan serta gerak kerja membina semula negara diperhebatkan,” katanya.

Leave a Reply

Top