Kebenaran yang diberikan Kerajaan Filipina kepada Malaysia untuk mengejar kumpulan penculik sehingga ke dalam kawasan perairan negara itu, akan memudahkan operasi agensi penguat kuasa Malaysia membanteras kegiatan itu terutamanya di kawasan perairan di luar Sabah.

Sambil menyambut baik keputusan itu Presiden Filipina Rodrigo Duterte itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata langkah itu membuka ruang kerjasama lebih baik di antara agensi penguatkuasaan undang-undang Malaysia dan Filipina dalam usaha mengatasi kegiatan penculikan untuk wang tebusan oleh kumpulan pengganas yang melarikan diri ke kawasan selatan Filipina.

“Kerajaan Malaysia amat menghargai persetujuan yang telah diberikan Presiden Duterte kepada pihak berkuasa Malaysia,” katanya di sini, Khamis.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri sedang dalam rangka lawatan lima hari ke United Kingdom mulai Isnin.

Beliau mengulas keputusan Duterte, yang disampaikan pada pertemuannya dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak di Putrajaya hari ini, sempena lawatan rasmi presiden itu ke Malaysia selama dua hari bermula Rabu.

Semasa mengumumkan perkara itu, Najib berkata di bawah persetujuan itu, pihak berkuasa Malaysia diminta menghubungi Tentera Laut Filipina apabila mereka tiba di sempadan perairan negara itu, bagi meneruskan operasi mengejar supaya Filipina tahu penguat kuasa Malaysia memasuki perairan mereka.

Najib berkata Duterte sebelum ini memberi kebenaran sama kepada Presiden Indonesia Jokowi dan sehubungan itu, menteri-menteri pertahanan Filipina, Indonesia dan Malaysia akan bertemu di Vientiane, Laos pada 22 Nov ini bagi membincangkan prosedur operasi standard (SOP) dan aspek perundangan pelaksanaan operasi itu.

Ahmad Zahid berkata operasi membanteras kegiatan penculikan untuk wang tebusan yang melibatkan rakyat Malaysia sebelum ini sering dihampakan kerana kumpulan penculik melarikan diri ke kawasan perairan Filipina sebagai tempat perlindungan.

Sementara itu, Ahmad Zahid yang diiringi Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom Datuk Ahmad Rasidi Hazizi melawat kilang Airbus Defence and Space di bandar ini, yang terletak 50 kilometer ke utara kota raya London, pada Khamis.

Kilang itu antara lainnya mereka cipta dan mengeluarkan satelit, sistem telekomunikasi serta program sains dan navigasi angkasa lepas.

Ia turut membangunkan sebuah kenderaan enam roda yang dinamakan ExoMars Rover, yang bakal digunakan di planet Marikh untuk eksplorasi mencari bukti hidupan di planet itu.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *