MH Online

Laman Suara Rakyat

Keputusan Biro Politik Belum Disahkan Majlis Tertinggi

Keputusan Biro Politik Belum Disahkan Majlis Tertinggi

KUALA LUMPUR, Hasil mesyuarat Biro Politik UMNO semalam tidak boleh dianggap sebagai keputusan rasmi parti sehingga ia dibawa dan diputuskan oleh Majlis Tertinggi (MT) parti itu.

Ahli MT UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, berkata hasil mesyuarat itu juga tidak seharusnya didedahkan kepada umum sebelum ia diputuskan oleh MT.

“Hasil perbincangan itu tidak sepatutnya diumumkan kepada khalayak ramai kerana ia belum dibawa kepada MT. Apa yang nak dimaklumkan kepada orang ramai adalah keputusan parti iaitu keputusan MT.

“Mesyuarat MT pun belum tahu bila (akan diadakan), tiba-tiba Setiausaha Agung (Datuk Seri Ahmad Maslan) panggil dan buat sidang media. Kenapa perlu membuat kenyataan tergesa-gesa?” dipetik sebagai berkata.

Media melaporkan UMNO meletakkan syarat baharu untuk meneruskan kerjasama politik dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN) termasuk membuat pertimbangan untuk menarik diri daripada menyokong PN.

Perkara itu diputuskan melalui Mesyuarat Biro Politik MT UMNO yang dipengerusikan Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam pada itu, Tajuddin yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak berkata, hasil mesyuarat Biro Politik UMNO adalah isyarat jelas kepada kerajaan PN supaya tindakan segera diambil jika kerjasama dalam gabungan itu mahu diteruskan.

Sehubungan itu, beliau berkata berkata rundingan perlu segera dilakukan dan ketidakpuasan hati parti itu diambil maklum.

“Apa yang saya maksudkan ialah UMNO sudah memberi isyarat kepada PN terutama BERSATU (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) dan juga Perdana Menteri.

“UMNO tidak berpuas hati dan kalau mahu meneruskan kerjasama, BERSATU kena ambil tindakan terhadap perkara yang disuarakan UMNO supaya UMNO tidak lagi menjadi seperti penumpang atau ‘melukut di tepi gantang’ dalam kerajaan.

“Jika tiada tindakan diambil atau diambil peduli, bimbang akan menjadi lebih buruk dan perpecahan akan berlaku yang akhirnya menyebabkan UMNO mungkin memikirkan tidak ada harapan.

“Sebagai contoh, kalau (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) ada formula yang boleh menarik minat UMNO dan parti lain, jangan terkejut kalau UMNO akan menyertainya, itu maksud saya,” katanya.