MH Online

Laman Suara Rakyat

Kepelbagaian Pacu Kecemerlangan YADIM

Kepelbagaian Pacu Kecemerlangan YADIM

PUTRAJAYA, Kepelbagaian latar belakang dan pengalaman barisan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) yang baharu diyakini mampu menjana idea serta memberi nasihat kepada pengurusan yayasan itu.

Yang Dipertua YADIM, Nik Omar Nik Abdul Aziz, berkata barisan Ahli Lembaga Pemegang Amanah YADIM yang baharu dilantik melambangkan ilmu, kekuatan dan pengalaman daripada beberapa latar belakang yang berbeza.

“Ia adalah gabungan profesional yang pelbagai seperti agama, akademik, perundangan dan lain-lain, ia diyakini mampu menjana idea dan memberi nasihat kepada pihak pengurusan YADIM.

“Kepelbagaian latar belakang dan pengalaman sedemikian sememangnya sesuai dengan agensi seperti YADIM dalam menggerakkan agendanya, iaitu meletakkan Islam di Malaysia di kedudukannya yang sebenar melalui medan dakwah yang penuh hikmah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kelmarin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, mempertahankan pelantikan 10 ahli politik sebagai Ahli Lembaga Pemegang Amanah YADIM.

Beliau berkata, pelantikan itu dibuat berdasarkan merit, kelayakan dan pengalaman mereka, bukannya atas faktor politik walaupun ada antara mereka adalah Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Antara ahli politik yang dilantik adalah ADUN dari DAP, Sheikh ‘Umar Bagharib Ali, enam individu dari AMANAH termasuk Nik Omar, Timbalan Yang Dipertua YADIM, Zolkharnain Abidin, Datuk Abdul Ghani Shamsuddin, Ahmad Sayuti Bashiron, Shamsul Ma’arif Ismail dan Maznah Daud.

Turut dilantik adalah wakil PKR yang juga Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh dan Ahli Parlimen Merbok, Nor Azrina Surip dan seorang wakil daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang juga Ketua Bahagian BERSATU Cheras, Datuk Dr Samsu Adabi Mamat.

Wakil pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) turut dilantik iaitu Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Mohamad Raimi Abdul Rahim manakala seorang lagi adalah ahli akademik, Dr Muhammad Razak Idris.

Dalam pada itu, Nik Omar berkata tumpuan utama YADIM kini sudah tentu dalam bidang dakwah selain pendidikan, kebajikan dan sosial, menerusi tiga wawasan yayasan itu iaitu Mengubah Pemikiran, Nasihat Menasihati dan Operasi Kehidupan.

“Badan dakwah ini akan menumpukan kepada usaha pengkaderan daie, pendakwah yang benar-benar memahami Islam, menggunakan pendekatan terbaik untuk berdakwah kepada masyarakat Islam dan bukan Islam.

“Sesuai dengan tujuan penubuhannya, YADIM juga akan memperkukuhkan hubungan dan interaksi dengan NGO Islam di negara ini serta menjadikan mereka sebagai rakan strategik bagi menjayakan visi dan misi YADIM, disamping menyumbang kepada pembangunan ummah.

“YADIM komited untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara contoh patuh syariah, yang boleh dijadikan rujukan kepada negara lain pada peringkat antarabangsa,” katanya.

Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Mujahid atas persetujuan dan melengkapkan pelantikan 12 orang ALPA YADIM.