MH Online

Laman Suara Rakyat

Kenyataan Syed Saddiq Tidak Bertanggungjawab

KUALA LUMPUR, Pemuda UMNO menegur kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Parlimen, yang didakwa melabelkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) belia sebagai ‘macai’ politik.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata Syed Saddiq perlu berhati-hati ketika mengeluarkan kenyataan ketika berbahas pada sidang Dewan Rakyat.

“Menuduh NGO belia seperti Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Belia 4B dan Majlis Belia Malaysia (MBM) sebagai macai politik adalah kata-kata yang amat tidak bertanggungjawab daripada seorang yang bersifat negarawan.

“Apabila dilantik sebagai anggota pentadbiran, menteri, beliau (Syed Saddiq) perlu berjiwa negarawan.

“Takkanlah setiap masa apabila mereka kritik kerajaan, kita melabelkan mereka dengan pelbagai gelaran,” katanya dalam satu sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pemuda UMNO, di sini, hari ini.

Asyraf Wajdi turut menasihatkan Syed Saddiq supaya melihat sesuatu isu di luar kepompong kepartian dan bermotifkan politik.

Katanya, ia susulan NGO belia mewakili suara anak muda yang membangunkan bakat kepemimpinan negara yang ada kalanya akan menyokong sesuatu dasar dan ada kalanya ‘bersikap panas’ dengan mengkritik.

“Seharusnya mereka dinilai secara adil dan tidak sewenangnya digelar macai politik yang tidak bermoral dalam institusi Parlimen dan (tuduhan) datang pula daripada seorang Menteri.

“Takkan selepas dua bulan dalam kerajaan, ahli parlimen Pakatan Harapan (PH) melontarkan kata-kata yang hakikatnya, bagi saya tidak bertanggungjwab dan tidak bersifat seorang Ahli Parlimen yang beradab dan punya nilai moral tinggi,” katanya.