Kenyataan  dikeluarkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung isu Forest City mempunyai agenda politik tersembunyi.

Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik dan Antarabangsa, Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia, Md Shukri Shuib berkata, tindakan mempertikai secara keterlaluan dan terbuka terhadap sesuatu agenda pembangunan yang sedang dilaksana boleh bawa kecurigaan pelabur.

Katanya, ia juga boleh merosakkan reputasi negara dalam menarik sokongan pemodal untuk menjayakan pertumbuhan ekonomi dalam negara.

“Unsur politik di dalam kenyataan dibuat jelas wujud, malah ia juga bawa mesej keterlaluan yang menakutkan rakyat pada projek yang dilaksanakan di Johor.

“Projek  dilaksana dalam negara mempunyai pelbagai sasaran dan selagi tidak terganggu keselamatan, maka pembangunan wajar dilaksana,” katanya kepada media, semalam.

Sebelum ini, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar dilaporkan tersinggung dengan kenyataan Tun Mahathir yang memutar belit fakta berhubung pelaburan China di negeri itu.

Manakala, Mahathir melalui surat yang disiar di laman blognya memaklumkan beliau sedia ditangkap dan dibicara dalam menjawab cabaran yang dibuat oleh Sultan Ibrahim berhubung isu pembangunan di negeri tersebut.

Md Shukri berkata, kritikan-kritikan dibuat pada masa Malaysia sedang bersaing untuk merebut peluang pelaburan adalah satu unsur yang merosakkan daya saing negara.

“Biar sajalah mana-mana tokoh membidas dasar dan projek pembangunan yang sedang dilaksanakan kerana ia sudah kerap kali berlaku sejak dulu lagi.

“Janganlah pengkritik ini sampai dilihat sebagai pensabotaj pula, kritiklah dengan cara membina dan bukan kerana kebencian,” katanya.

Tambahnya, budaya politik profesional di Malaysia telah hilang manakala budaya pertelingkahan yang dahsyat dilihat semakin menular sehingga boleh meragut kestabilan di negara ini pada bila-bila masa.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *