KUALA LUMPUR, Kenyataan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim disabitkan secara tidak adil dalam kes liwat dan keputusan mahkamah dipengaruhi oleh kerajaan adalah mengejutkan dan melucukan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata pada dasarnya Dr Mahathir mendakwa bahawa Anwar menjadi mangsa badan kehakiman yang korup dan hakim-hakim adalah tidak jujur.

Menurut Salleh, itu pun adalah sama seperti menghina mahkamah dan menyatakan demikian dalam satu temubual media di United Kingdom adalah tidak lain sebagai percubaan untuk memburuk-burukkan imej negara.

“Justeru, menjadi tanggungjawab Mahathir untuk membuktikan apa yang beliau dakwa dan membuktikan beliau benar-benar dan ikhlas percaya bahawa Anwar adalah mangsa konspirasi politik dengan meminta maaf kepada Anwar atas segala kenyataan yang dibuat dan perlakukannya terhadap Anwar sejak 1998.

“Tidak ada gunanya mendakwa Anwar disabitkan kesalahan atas jenayah yang tidak pernah dilakukannya tetapi tidak berbuat apa-apa dengan sekurang-kurangnya memohon maaf,” kata Salleh menerusi posting dalam laman blog beliau sskeruak.blogspot.my hari ini ketika mengulas artikel mengenai temubual Dr Mahathir dalam akhbar Britain The Guardian pada Khamis.

Salleh berkata: “Kegagalan melakukan sesuatu perkara yang betul dengan meminta maaf atas apa yang menurut Mahathir ketidakadilan yang dilakukan ke atas Anwar akan membuktikan apa yang Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) berkata mengenai kebimbangan Mahathir terhadap Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang sedang menyiasat kerugian pertukaran asing berjumlah RM30 bilion yang dialami Bank Negara”.

Menurut Salleh, kebimbangan utama Dr Mahathir ialah Anwar akan memberi keterangan terhadapnya dan bahawa kebenaran membabitkan kerugian RM30 bilion akan didedahkan.

Oleh itu, ini adalah semata-mata satu langkah oleh Mahathir untuk menyenangkan hati Anwar dan tidak dibuat dengan ikhlas,” kata Salleh.

Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun kerana kesalahan liwat dan dihukum penjara pada Februari 2015. Dia pertama kali dipenjarakan kerana kesalahan rasuah dan liwat pada 1998.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *