Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > ‘Kenapa Sasarkan Saya’ Soal Azmin

‘Kenapa Sasarkan Saya’ Soal Azmin

SHAH ALAM, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menjelaskan beliau tidak hadir pada mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti semalam, kerana masanya bertembung dengan program Kerajaan Persekutuan.

Beliau yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi, berkata tanggungjawab yang dipikul memerlukan dirinya membahagikan tugas sebagai pemimpin parti politik dan kerajaan.

“Kita perlu membawa mandat ini secara bersama. Jadi, ada kalanya tugas kerajaan yang perlu kita dilaksanakan, itu juga tanggungjawab kita.

“Malah, ada beberapa pemimpin senior PKR yang mempunyai jawatan dalam Kerajaan Persekutuan.

“Sebagai tanggungjawab parti pun kita kena tunaikan juga, kita perlu lakukan kedua-duanya,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.

Dalam pada itu, Mohamed Azmin turut mempersoalkan sikap pihak tertentu yang mensasarkan dirinya apabila tidak hadir pada mesyuarat parti.

“Saya ulangi bahawa ada program parti saya hadir kalau tiada tugas kerajaan. Kalau ada (tugas) saya akan maklum. Itu proses normal. Kenapa sasarkan saya?” katanya.

Semalam, Mohamed Azmin tidak hadir mesyuarat kepemimpinan parti di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya.

Berikutan itu, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil, mengingatkan kepemimpinan parti itu untuk hadir pada semua mesyuarat parti mengikut jadual yang diedarkan dua hingga tiga bulan lebih awal.

Selain Mohamed Azmin, pemimpin PKR lain yang tidak hadir ialah Naib Presiden, Zuraida Kamaruddin; Ketua Wanita, Haniza Talha dan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Selangor yang juga Menteri Besar, Amirudin Shari.

Pada 20 Julai lalu, Mohamed Azmin turut tidak hadir pada Program Temurapat Majlis Pimpinan Pusat PKR Sesi 2018/2021 di Port Dickson, walaupun dijadualkan memberi ucaptama.

Leave a Reply

Top