MH Online

Laman Suara Rakyat

Kenal Pasti Punca Anak Muda Sertai Militan – Sultan Nazrin

IPOH, Pihak berkuasa diminta mengenal pasti dan memperhalusi faktor-faktor yang berupaya memesong pemikiran anak muda sehingga hilang pertimbangan dan memilih menyertai kumpulan militan.

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bertitah usaha mengenal pasti faktor-faktor itu dapat membantu pihak berkuasa merangka langkah yang lebih komprehensif dalam menangani isu berkenaan.

“Polis Diraja Malaysia telah melakukan beberapa tangkapan, namun tangkapan tidak menjamin masalah telah selesai, kalau punca masalah gagal difahami secara mendalam,” titah baginda ketika merasmikan Mesyuarat Pertama, Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Sultan Perak bertitah setiap agama menyeru kepada perdamaian dan keamanan, menyemai rasa keinsanan dan kemanusiaan, melarang permusuhan, mencegah pembunuhan.

“Kini ada rakyat yang telah terpengaruh dengan fahaman-fahaman ekstremis, hingga ke peringkat bersedia menyertai kumpulan militan, sanggup meninggalkan tanah air, dan ada yang telah terkorban di negara orang,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah ancaman terhadap ketenteraman awam dan keamanan negara berlaku dalam pelbagai bentuk lebih-lebih lagi di sebuah negara yang memiliki warga pelbagai latar belakang agama, kaum dan budaya.

“Isu-isu agama, kaum dan budaya yang dieksploitasi bagi kepentingan politik kepartian jangka pendek, ibarat api yang membara dalam sekam, berpotensi mencetus permusuhan dan meluap kemarahan dalam kalangan warga,” titah Sultan Perak.

Dalam pada itu, baginda bertitah penularan pelbagai aliran pemikiran menongkah arus pegangan ahli Sunnah Wal Jamaah merupakan cabaran yang berupaya merungkai pegangan akidah selain memporak-perandakan ummah.

Sehubungan itu, Sultan Nazrin bertitah agar ulama dan cendekiawan Islam mencari titik pertemuan serta kata sepakat bagi menangani isu berkaitan daripada terus berlarutan.

“Dalam matlamat mahu mencari titik pertemuan, perbincangan yang dirintis adalah lebih bijaksana dilakukan dalam semangat permuafakatan secara halus dan di belakang tabir.

“…bukannya digembar-gembur di khalayak ramai, disebabkan masing-masing mahu menegakkan kebenaran hingga mengakibatkan umat keliru,” titah baginda.