MH Online

Laman Suara Rakyat

KEMUDI Kelab Media Pertama Tandatangan IBR

KOTA BHARU, Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi) mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi kelab media pertama di negara ini yang menyahut seruan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR).

Pengarah SPRM Kelantan Datuk Moh Samsuddin Yusof berkata 150 anggota kelab tersebut yang mewakili 16 agensi media dianggotai wartawan, jurugambar, jurukamera dan kakitangan pengurusan pejabat masing-masing hadir melafazkan ikrar bagi memastikan organisasi yang diwakili bebas rasuah.

“Kelab media ini merupakan yang pertama di Malaysia melafazkan dan menandatangani IBR yang bertujuan memberi penghayatan dan pemahaman kepada semua masyarakat mengenai kepentingan membanteras gejala rasuah,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Agung dan Pemilihan Jawatankuasa Kemudi 2018/2020 di sini, hari  ini.

Hadir sama Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan Datuk Yahaya Mamat dan Presiden Kemudi Mohd Zailani Abd Rahman.

Pada mesyuarat agung berkenaan, SPRM Kelantan turut membuka kaunter bagi mana-mana pengamal media yang berminat untuk menyertai Sahabat Gerakan Revolusi Anti Rasuah (GERAH) yang memberi  peluang kepada masyarakat untuk sama-sama terlibat dengan agensi itu dalam usaha pencegahan rasuah dan memeranginya secara habis-habisan.

Moh Samsuddin berkata pihaknya mahu media yang berperanan menyampaikan maklumat kepada masyarakat turut menerima penghayatan mengenai rasuah sekali gus mengelakkan diri serta tidak terbabit dalam aktiviti itu.

Beliau berkata setakat ini kira-kira 30 peratus jabatan dan agensi kerajaan di negeri ini menandatangani IBR sejak ia mula dilancarkan pada tahun lepas, dan dijangka meningkat memandangkan turut mendapat permintaan daripada badan bukan kerajaan (NGO).

Sementara itu, Yahaya berkata sebanyak 330 projek baharu sedang dan akan dilaksanakan di Kelantan dengan peruntukan kira-kira RM13 bilion dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).

Beliau berkata antara projek yang sedang dilaksanakan termasuk pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Pengkalan Chepa di sini, yang bernilai kira-kira RM450 juta.