MH Online

Laman Suara Rakyat

Kempen Pelancongan Skala Besar Perlu Penelitian Rapi

Kempen Pelancongan Skala Besar Perlu Penelitian Rapi

KUALA LUMPUR, Pelaksanaan kempen pelancongan berskala besar selepas ini memerlukan persediaan teliti, mengambil kira faktor semasa seperti kos dan landskap pada waktu itu.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata penelitian itu turut membabitkan pelaksanaan kempen Tahun Melawat Malaysia (TMM) dengan objektif untuk menarik pelancong luar mengunjungi negara ini.

Beliau berkata, ini kerana kempen sedemikian memerlukan langkah promosi dan pemasaran dalam skala besar kerana ia membabitkan ruang lingkup antarabangsa.

“Pelaksanaan kempen berskala besar seperti TMM memerlukan persediaan yang rapi terutama peruntukan bajet dan tempoh masa yang wajar bagi membolehkan pra promosi dan pemasaran dalam skala yang besar dilaksanakan bagi menarik sasaran antarabangsa.

“Pada masa ini, kerajaan sedang menumpukan kepada usaha pemulihan industri pelancongan menerusi pelaksanaan pelan pemulihan pelancongan dan kebudayaan yang sudah dirangka oleh kementerian.

“Justeru, keputusan melaksanakan TMM 2020 pada masa akan datang adalah bergantung kepada faktor seperti pemulihan sektor pelancongan di peringkat global serta masa yang sesuai,” katanya pada sesi penggulungan perbahasan usul menjunjung kasih titah diraja bagi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya di Dewan Rakyat, semalam.

Pada 18 Mac lalu, Nancy pernah mengumumkan pembatalan kempen TMM 2020 susulan penularan COVID-19.

Beliau berkata, pembatalan itu dibuat bagi memberi keutamaan supaya kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan negara serta rakyat terpelihara.

Justeru, beliau meminta supaya semua penggiat industri pelancongan dan kebudayaan diseru mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), peraturan dan arahan yang sedang berkuatkuasa ketika ini.