Tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkempen untuk pembangkang bagi pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar dan Parlimen Kuala Kangsar disifatkan sebagai pengkhianatan kepada Umno dan Barisan Nasional (BN).

Ketua Bahagian Umno Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, “pengkhianatan” itu juga dilihat sebagai satu pengajaran yang ditinggalkan bekas Presiden Umno dan Pengerusi BN itu.

“Saya tidak tau beliau masih realistik atau tidak dan kalau ya beliau tahu, ini adalah satu pengkhianatan kepada parti dan juga kepada legasi 22 tahun pemerintahan yang ditinggalkan beliau.

“Kalau pengkhianatan adalah satu pengajaran utama yang kita dapat, itu juga merupakan peninggalan beliau,” katanya secara sinis.

Nur Jazlan yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri dan Anggota Parlimen Pulai berkata, Dr Mahathir pernah mengajar masyarakat supaya jangan berpolitik sangat dan lebih menumpukan kepada pembangunan negara.

“Dia dulu buat Operasi Lalang, tangkap pemimpin pembangkang utama seperti Lim Kit Siang, Mohamad Sabu, Karpal Singh dan tangkap (mereka ini) atas alasan ketenteraman negara, sekarang ini dia duduk atas satu pentas dengan orang yang sama dan menyeru supaya pengundi di Sungai Besar mengalahkan calon BN,” katanya.

Nur Jazlan berkata, ini boleh dianggap sebagai satu penipuan kepada ahli Umno dan BN yang percaya kepada Dr Mahathir dahulu apabila beliau pernah menyatakan pembangkang sebenarnya adalah ancaman kepada negara.

PRK Parlimen Sungai Besar, Selangor dan Parlimen Kuala Kangsar, Perak akan diadakan pada 18 Jun selepas penyandangnya Tan Sri Noriah Kasnon dan Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *