Ketua Pemuda Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan), Shahir Adnan berkata, bagaimana Kementerian Kewangan boleh memberi peruntukan khas secara terus pada saat rakyat dicanang bahawa kewangan kerajaan berkeadaan tenat akibat skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Kami menggesa Kementerian Kewangan bersikap telus dan memberikan penjelasan secepat mungkin kepada seluruh rakyat Malaysia. Ini bukan isu perkauman tetapi isu tadbir urus di mana rakyat mahukan kerajaan yang telus,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kolej New Era dilaporkan menerima peruntukan khas tersebut daripada kerajaan Pakatan Harapan (PH) dengan Kementerian Pendidikan dalam kenyataan berkata ia merupakan peruntukan kementerian yang diberi secara terus oleh Kementerian Kewangan.

Tambah Shahir, Pemuda Ikatan berpandangan bahawa perpaduan kaum seharusnya bermula daripada peringkat sekolah.

“Apabila diasingkan aliran-aliran sekolah, terutama sekolah persendirian Cina yang tidak mengguna pakai seratus-peratus kurikulum di bawah Kementerian Pendidikan, maka anak-anak Malaysia akan berpecah belah, sejak dari bangku sekolah. Dasar sebegini tidak akan menguatkan perpaduan antara kaum,” katanya.

Beliau berkata, Kementerian Pendidikan tidak perlu membandingkan peruntukan khas tersebut dengan amalan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang pernah memberikan peruntukan kepada Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (KUTAR).

Katanya, penjelasan sebegitu menunjukkan sikap kebudak-budakan yang terus membolehkan apa jua perkara yang dibuat oleh kerajaan PH dengan mengaitkan amalan terdahulu kerajaan BN.

“Di manakah semangat Malaysia baharu yang dicanang pemimpin PH? Sikap sebegini bakal menyebabkan rakyat mual dan muak sehingga menghukum mereka dalam pilihan raya akan datang,” katanya.