MH Online

Laman Suara Rakyat

Kementerian Kewangan Akan Semak Silang Data LHDN

Kementerian Kewangan Akan Semak Silang Data LHDN

KUALA LUMPUR, Kementerian Kewangan akan membuat semak silang data Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) tahun 2020 bagi menyelesaikan isu berbangkit status layak Bantuan Prihatin Nasional (BPN).

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, berkata ia membabitkan mereka yang kehilangan pendapatan tahun ini, status bukan pelajar dan lain-lain.

Katanya, langkah itu diambil kerana kerajaan amat peka dan mendengar cabaran yang dihadapi rakyat dalam mengakses bantuan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN)

“Kerajaan sentiasa memantau melalui media sosial, media massa dan juga panggilan Hotline yang diterima untuk lebih memahami kekangan yang dihadapi oleh rakyat,” katanya berucap melaporkan pelaksanaan pakej PRIHATIN di sini, hari ini.

Tengku Zafrul berkata, sehingga 12 April 2020, jumlah penerima BPN yang diluluskan adalah 8.3 juta orang, apabila proses semakan dan permohonan dibuka.

Katanya, seramai 6.6 juta orang telah menerima bantuan berjumlah RM4.9 bilion, dengan permohonan baharu adalah 2.77 juta dan permohonan rayuan sebanyak 274,000.

“Bagi permohonan baharu dan rayuan, keputusan dan

pembayaran akan dibuat dalam Mei selepas semakan dan verifikasi dilakukan oleh LHDN,” katanya.

Beliau menambah, Kementerian Kewangan telah mempercepatkan pembayaran fasa pertama bagi golongan yang telah layak menerima BPN daripada hujung bulan ini kepada 6 April lalu.

“Sehingga 12 April 2020, seramai 3.2 juta atau 96.6 peratus isi rumah B40 dan 3.4 juta atau 92.3 peratus individu bujang B40 telah menerima pembayaran berjumlah RM3.2 bilion dan RM1.7 bilion masing-masing, yang keseluruhannya adalah RM4.9 bilion.

“Dalam minggu ini, iaitu antara 13 hingga 15 April 2020, sebanyak RM750 juta akan disalurkan kepada kira-kira 1.5 juta penerima,” katanya.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata bagi kriteria layak bantuan pelajar institut pengajian tinggi (IPT), Kementerian Kewangan telah menambah RM30 juta untuk menaikkan jumlah keseluruhan daripada RM270 juta kepada RM300 juta.

Katanya, ini membolehkan pelajar Tingkatan Enam dan SKM4 ke atas dan setara menerima bantuan.

“Bagi kriteria layak barisan hadapan, Kementerian kewangan telah

memperluasan skop barisan hadapan kepada bomba, pegawai kebajikan dan sebagainya.

“Isu-isu lain seperti kriteria e-hailing juga telah diselesaikan,” katanya.