MH Online

Laman Suara Rakyat

Kementerian Kesihatan Rampas Produk Makanan Termasuk Susu Pisang

Kementerian Kesihatan Rampas Produk Makanan Termasuk Susu Pisang

KUALA LUMPUR, Kementerian Kesihatan merampas 2,135 produk makanan, termasuk susu pisang bernilai RM60,494.53 kerana tidak mematuhi Akta Makanan 1983.

Rampasan itu dibuat hasil operasi khas secara serentak di seluruh negara pada bulan lalu bagi membanteras dan mengambil tindakan ke atas pengeluar produk makanan terbabit.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata sebanyak 47 notis dengan nilai denda RM113,500 dikeluarkan hasil pemeriksaan terhadap 506 premis.

“Kementerian Kesihatan memandang serius penjualan dan pengiklanan produk susu pisang yang membuat akuan dilarang dan tular dalam media sosial, media elektronik, media cetak dan lain-lain.

“Penyataan seperti membantu merendahkan tekanan darah tinggi, membuang toksik dari badan, meningkatkan metabolisme, mengawal selia pengeluaran insulin dan pergerakan oksigen, mengurangkan obesiti dan sebagainya adalah dilarang pada label serta iklan produk makanan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham menjelaskan, Seksyen 17 Akta Makanan 1983 menetapkan larangan ke atas sesuatu iklan makanan, termasuk perkara dilarang, pada label dan penyataan yang boleh memperdayakan pengguna.

Beliau berkata, Peraturan 18(6) Peraturan-Peraturan Makanan 1985 pula menyatakan bahawa label makanan tidak boleh mengandungi akuan kesihatan seperti mencegah, mengurang, merawat dan menyembuhkan sesuatu penyakit.

“Kegagalan mematuhi mana-mana peruntukan bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985 adalah satu kesalahan dan jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun.

“Kementerian memberi amaran kepada semua penjual atau ejen produk makanan berkenaan untuk menghentikan pengiklanan yang tidak mematuhi Akta Makanan 1983 dan tidak menyebarkannya dalam media sosial. Pengguna juga dinasihatkan tidak terpedaya dengan iklan sedemikian,” katanya.

Beliau berkata, kementerian bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta pentadbir laman sosial seperti Facebook dan Instagram untuk menyekat akses kepada laman web serta laman sosial produk makanan yang didapati tidak mematuhi Akta Makanan 1983.

Hingga kini, sebanyak 103 laman web dan laman sosial sudah disekat.