Kementerian Pendidikan bercadang membenarkan pelajar sekolah di seluruh negara menggunakan alat peranti seperti laptop, tablet dan telefon bimbit di sekolah.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata penggunaan itu untuk tujuan Pengajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) dalam kelas mengikut masa dan subjek yang akan ditetapkan kementerian.

Beliau berkata, bagaimanapun cadangan itu belum diputuskan buat masa ini kerana kementerian melihat perlunya kajian terperinci sebelum pelaksanaan itu.

“Saya masih belum memikirkan jenis alat peranti yang akan dibenarkan penggunaannya di sekolah. Mungkin selepas perbincangan lanjut, kementerian akan umumkan hasil keputusannya dalam tempoh dua bulan.

“Sebagai contoh, penggunaan alat peranti di negara maju seperti Jepun dan Korea, ada had penggunaan alat peranti di dalam kelas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan 70 siri buku sukan terbitan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) dan Memorandum Perjanjian (MoU) kerjasama penerbitan antara ITBM-Pusat Kebudayaan Han Malaysia (HCCM).

Turut hadir, Pengerusi ITBM, Budiman Mohd Zohdi dan Pengarah Urusan ITBM, Mohd Khair Ngadirun.

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, untuk menjayakan konsep penggunaan alat peranti di sekolah, beliau mengarahkan pembekal Perkhidmatan 1BestariNet meningkatkan kapasiti kelajuan jalur lebar sehingga 6 giga bite per saat di sekolah luar bandar manakala sekolah bandar, 12 giga bite per saat.

Sementara itu, ITBM akan mengedarkan buku sukan berkenaan ke 10,000 sekolah di seluruh negara dalam usaha menggalakkan pelajar membaca bahan bacaan mengikut minat sukan masing-masing.

Pengagihan itu turut membabitkan usaha kerajaan melahirkan atlet berintelek yang mempunyai pendidikan tinggi seperti pemain skuasy negara, Datuk Nicol David.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *