ALOR SETAR, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan kemangkatan Almarhum Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah sebagai satu kehilangan besar kepada rakyat dan negara.

Beliau berkata, Almarhum mempunyai sikap yang berdisiplin dan mementingkan ketepatan masa dalam urusan terutama berkaitan negara.

“Saya merafak sembah takziah kepada Sultanah Hajah Haminah Hamidun dan seluruh Kerabat Diraja Kedah. Pemergian Tuanku sangat dirasai rakyat.

“Saya masih ingat ketika menghantar Almarhum Tuanku berangkat pulang selepas menamatkan tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong tahun lalu…Tuanku berpesan kepada saya untuk terus membantu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, membangunkan negara dan menjaga kebajikan rakyat.

“Baginda juga mahu kerajaan memastikan keharmonian serta keselamatan Malaysia sentiasa diutamakan,” katanya yang ditemui di sini sebentar tadi.

Terdahulu, Ahmad Zahid meluangkan masa kira-kira 15 minit memberi penghormatan terakhir kepada Almarhum Sultan Kedah itu.

Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah yang diputerakan pada 28 November 1927 disahkan mangkat di Istana Anak Bukit jam 2.30 petang semalam.

Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah adalah satu-satunya Raja Melayu yang memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong dua kali.

Kali pertama selaku Yang di-Pertuan Agong ke-5 pada 21 September 1970 hingga 20 September 1975 dan kedua sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 pada 13 Disember 2011 hingga 13 Disember 2016.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *