MH Online

Laman Suara Rakyat

Kelantan Sedia Hadapi Saman

Kelantan Sedia Hadapi Saman

KOTA BHARU, Kerajaan PAS Kelantan sedia hadapi saman difailkan melalui Peguam Negara, Tommy Thomas atas dakwaan menceroboh penempatan Orang Asli.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakub, berkata kerajaan negeri juga masih menunggu dokumen rasmi berkaitan saman itu daripada pejabat Peguam Negara.

Katanya, setakat ini kerajaan negeri hanya mengetahui mengenai saman itu daripada media.

Menurutnya, dokumen rasmi mengenai saman itu penting supaya kerajaan negeri dapat mengetahui isi kandungannya dan juga tujuan saman itu difailkan.

“Kerajaan negeri masih menunggu dokumen rasmi daripada pejabat Peguam Negara.

“Perkara ini pertama kali berlaku dan kami bersedia menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin di kediaman rasminya di sini, hari ini.

Ahmad berkata sebarang keputusan mengenai kes itu akan dibuat dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri yang akan diadakan nanti.

Katanya, kerajaan negeri sudah memberi tanah kepada masyarakat Orang Asli bagi kawasan ‘rayau’ mereka, mendirikan rumah dan menjalankan aktiviti pertanian.

Kerajaan Persekutuan menyaman kerajaan Kelantan bagi menuntut hak mendapatkan pengiktirafan hak tanah adat Orang Asli Temiar di Pos Simpor berdekatan Gua Musang.

Saman yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kota Bharu menamakan kerajaan negeri, pengarah tanah dan galian negeri, pengarah perhutanan negeri dan lima entiti swasta.

Ia juga memohon injunksi menghalang syarikat swasta menceroboh tanah adat untuk menjalankan aktiviti komersial.