Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Kekosongan Selepas PM Letak Jawatan – Azizah

Kekosongan Selepas PM Letak Jawatan – Azizah

CYBERJAYA, Sebarang kekosongan jawatan dalam Kabinet mungkin hanya berlaku apabila Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan sebagai Perdana Menteri, kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Timbalan Perdana Menteri berkata, tiada sebarang isu berhubung tiada kekosongan jawatan dalam Jemaah Menteri kerana tiada sesiapa meletak jawatan, seperti ditegaskan Dr Mahathir.

“Saya kira (akan berlaku kekosongan dalam Kabinet) kalau PM (Perdana Menteri) kosongkan (jawatan), itulah (seperti) yang dijanjikan,” katanya kepada media selepas mengadakan lawatan ke CyberSecurity Malaysia di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Dr Mahathir semalam yang menegaskan barisan Jemaah Menteri sedia ada kekal kecuali ada menteri yang meletakkan jawatan.

Perdana Menteri selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dilaporkan berkata, mesyuarat mingguan Kabinet juga tidak membincangkan pertukaran portfolio menteri, pelantikan menteri baharu atau menggantikan mana-mana menteri.

“Kita tidak bincang perubahan atau pertambahan anggota Kabinet memandangkan tiada yang mahu meletakkan jawatan. Buat masa ini tiada kekosongan, jika ada kita akan cari calon yang sesuai,” katanya.

Dr Mahathir berkata demikian ketika ditanya sama ada Kabinet ada membincangkan lebih lanjut mengenai pertukaran portfolio menteri dan kemungkinan usaha membawa masuk Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sementara itu, Dr Wan Azizah berkata, lawatan beliau ke CyberSecurity Malaysia bertujuan meninjau lebih dekat prasarana dan kelengkapan di pusat pakar teknikal keselamatan siber di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) itu, serta teknologi diguna pakai dalam bidang keselamatan siber.

Beliau turut melawat Makmal Forensik Digital yang berperanan dalam pembangunan dan penyelidikan bidang sains forensik digital di Malaysia.

“Makmal itu membantu siasatan kes berkaitan forensik digital dari agensi penguatkuasaan seperti analisis terhadap bahan eksibit elektronik dan digital.

“Melalui keupayaan forensik digital, pelbagai perkhidmatan ditawarkan secara inovatif seperti forensik multimedia (audio dan video), forensik telefon mudah alih, pemulihan dan pelupusan data dari media storan digital, forensik biometrik, forensik peranti terbenam dan data raya,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri juga meninjau Pusat Operasi dan Pelaporan Insiden Siber Cyber999 dikendalikan Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer Malaysia atau MyCERT yang bertanggungjawab menyediakan perkhidmatan bagi menangani insiden keselamatan siber.

Leave a Reply

Top