MH Online

Laman Suara Rakyat

Kekal Sokong PN Tapi Tuntut PRU Setelah COVID 19 Capai Tahap Minimum

Kekal Sokong PN Tapi Tuntut PRU Setelah COVID 19 Capai Tahap Minimum

KUALA LUMPUR, Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memutuskan, semua anggota Kabinet yang mewakili parti itu terus kekal dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata anggota Kabinet dari UMNO beriltizam untuk terus menjaga kebajikan rakyat dan mempertahankan maruah parti.

“UMNO terus kekal fokus dan konsisten dengan kenyataan yang sudah berkali-kali dikeluarkan mengenai pentingnya gencatan politik dan rekonsilasi nasional demi mendepani wabak COVID-19, menjaga kebajikan rakyat, keamanan negara dan kestabilan politik.

“UMNO juga ingin mengulangi dengan jelas bahawa kami menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu untuk terus memastikan pentadbiran negara diurus dengan baik berpandukan keluhuran undang-undang.

“UMNO juga mengulangi pentingnya menghormati semangat yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan tidak membawa negara ke dalam darurat seperti yang dicadangkan kerajaan,” katanya menerusi kenyataan awal pagi ini selepas mempengerusikan mesyuarat khas itu.

Mesyuarat khas malam tadi berlangsung mulai jam 8.30 malam hingga 12 tengah malam. Ini adalah kali kedua MKT mengadakan mesyuarat khas minggu ini.

Semua ahli MKT dilaporkan hadir kecuali Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan dan Naib Presiden, Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin.

Mengenai Belanjawan 2021, Ahmad Zahid berkata, UMNO memperhalusi pelbagai pandangan dan harapan rakyat untuk diangkat kepada kerajaan termasuk isu perlanjutan moratorium, bantuan sara hidup kepada rakyat yang hilang punca pendapatan akibat COVID-19, bantuan kepada belia menganggur, bayaran khas pasukan hadapan dan beberapa inisiatif untuk meningkatkan pengembangan ekonomi negara.

Jelasnya, UMNO akan memastikan Belanjawan 2021 yang bermanfaat untuk rakyat dapat diluluskan.

“Maka sebarang tindakan mana-mana pihak yang mempersoalkan keputusan UMNO dalam mendukung titah Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu adalah tidak bertanggungjawab dan amat dikesali.

“Sekiranya pendirian UMNO dalam perkara ini masih dipersoalkan, UMNO tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas demi untuk menjaga kedaulatan Raja-Raja dan kepentingan rakyat,” katanya.

Justeru beliau berkata, UMNO memutuskan supaya mandat rakyat dikembalikan bagi mewujudkan kerajaan yang stabil dengan mengadakan pilihan raya umum selepas pandemik COVID-19 dapat dikawal dan berada di peringkat minimum.