Penganjuran Kejohanan Bola Sepak Nations Cup 2016 yang julung kali diadakan melibatkan empat negara iaitu Malaysia, Singapura, Thailand dan Vietnam akan berlangsung pada 3 dan 5 Jun depan di Stadium Hang Jebat di sini.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin berkata kejohanan yang membabitkan empat pasukan bola sepak kebangsaan ASEAN itu akan melibatkan skuad Malaysia B-22 di bawah kendalian Frank Bernhardt sebagai persediaan menghadapi Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur.

Beliau berkata perlawanan pembukaan antara Vietnam dan Thailand akan berlangsung pada 4.45 petang, 3 Jun manakala Malaysia akan menentang Singapura pada 8.45 malam, hari yang sama.

“Kedua-dua pemenang bagi perlawanan tersebut pula akan bertemu pada perlawanan akhir yang akan berlangsung pada 5 Jun dan tiket bagi menyaksikan perlawanan itu akan mula dijual pada 21 Mei depan.

“Tiket boleh dibeli di Stadium Hang Jebat dan cawangan Tiketpro di Mahkota Parade dan Lembah Klang,” katanya pada sidang akhbar Kejohanan Nations Cup 2016 di sini, Jumaat.

Turut hadir Pengerusi Perbadanan Stadium Melaka (PSM) Datuk Mohd Yusoff Mahadi, Pengarah Media dan Jualan MP & Silva Sdn Bhd Mark Chew dan Ketua Pegawai Eksekutif PSM Norazam Abd Razak.

Mengulas lanjut, Hamidin berkata tiket bagi menyaksikan perlawanan tersebut dijual pada harga RM5 bagi kanak-kanak 12 tahun dan ke bawah, teres terbuka (RM10) dan grandstand (RM20) dan butiran lanjut berkaitan tiket dan perlawanan boleh dirujuk di laman web www.nationscup.asia.

Beliau berkata penganjuran Nations Cup 2016 oleh agensi sukan terkemuka, MP & Silva itu juga disasar menjadi kejohanan tahunan yang menampilkan saingan di peringkat tertinggi bagi pasukan kebangsaan negara-negara ASEAN.

“Tuan rumah atau venue penganjurannya mungkin akan diadakan di negeri lain. Jadi kita harap peminat bola sepak terutamanya di Melaka tidak melepaskan peluang untuk menyaksiakan pasukan kebangsaan bawah 22 tahun ini beraksi,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata FAM berpuas hati dengan tahap kualiti padang Stadium Hang Jebat hasil usaha PSM membaiki keadaan padang secara konsisten bagi memastikan ia sesuai dijadikan venue perlawanan bola sepak di peringkat antarabangsa.

Katanya bagaimanapun pihaknya berharap kerajaan Melaka melalui PSM dapat memasang pagar di kawasan tempat duduk penonton bagi meningkatkan tahap keselamatan ketika perlawanan berlangsung.

Sementara itu, Mark berkata harga tiket yang ditetapkan adalah berpatutan bagi memberi peluang dan menggalakkan peminat bola sepak menyaksikan perlawanan melibatkan pasukan skuad negara dan antarabangsa.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *